KUALA LUMPUR – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melakar sejarah apabila muncul sebagai badan jaminan kualiti pendidikan tinggi pertama menerima Anugerah Projek Tadbir Urus Terbaik – Pendidikan Tinggi peringkat Asia Pasifik sempena GovMedia Conference & Awards 2026.
GovMedia Conference & Awards merupakan platform persidangan dan pengiktirafan berprestij rantau Asia Pasifik yang menghimpunkan pemimpin sektor awam, pembuat dasar dan agensi kerajaan bagi berkongsi amalan terbaik serta mengiktiraf projek berimpak tinggi yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan, inovasi dan tadbir urus.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pengiktirafan berprestij itu diberikan sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan MQA menerajui projek berimpak tinggi dalam memperkukuh tadbir urus, inovasi serta sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi negara menerusi penganjuran MQA Awards 2025.
Beliau berkata, kejayaan terbabit membuktikan pendekatan strategik yang dilaksanakan MQA bukan sahaja berkesan dalam memperkukuh tadbir urus organisasi, malah mendapat pengiktirafan komuniti antarabangsa.
Katanya, anugerah itu mencerminkan komitmen berterusan warga MQA dalam memastikan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi negara kekal relevan, diyakini dan memenuhi amalan terbaik di peringkat global.
“Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan MQA, malah menjadi pengiktirafan terhadap keupayaan Malaysia membangunkan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi yang diyakini serta setanding dengan amalan terbaik dunia.
“Anugerah ini turut memperkukuh reputasi MQA dan negara di persada antarabangsa, di samping menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara seperti yang sering diuar-uarkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian anugerah tersebut di Marina Bay Sands Expo & Convention Centre, di sini, semalam.
Pada majlis itu, sebanyak 26 pemenang dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, Australia, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi menerima anugerah masing-masing menerusi pelbagai kategori.
Antaranya projek pendidikan, komuniti, tenaga, pertanian, sains dan teknologi, kawal selia, kewangan, alam sekitar, pihak berkuasa tempatan, komunikasi, latihan, kesihatan, belia, pembangunan urban serta khidmat sosial.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, kejayaan berkenaan membuktikan penganjuran MQA Awards bukan sekadar mengiktiraf kecemerlangan institusi pendidikan tinggi, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembudayaan inovasi, pengukuhan tadbir urus dan penambahbaikan berterusan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
“Penganugerahan itu menjadi pembakar semangat kepada MQA untuk terus memacu kecemerlangan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi negara.
“Anugerah ini juga memperkukuh penjenamaan korporat MQA sebagai peneraju jaminan kualiti pendidikan tinggi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta meningkatkan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara yang komited terhadap kecemerlangan tadbir urus dan kualiti pendidikan tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















