Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pelakon wanita drama Gerak Khas 2.0, Tisha Shamsir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memberikan diri sendiri tiga jenis dadah, Selasa lalu.

Pelakon drama kepolisan itu atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam, 40, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melalui ujian air kencingnya didapati memberikan kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pukul 7.30 pagi pada 7 Julai lalu.

Pelakon tersebut didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dalam akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau pemenjaraan tidak lebih dua tahun dan pengawasan selama dua tahun dan tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya Nurainna Maryam Norazman menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Nik Azhar Nik Adib daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh yang telah berpisah dengan suaminya menanggung ibu dan bapa yang sudah tua.

“Tujuan jaminan bagi memastikan kehadiran tertuduh. Sebelum ini tertuduh telah diberikan jaminan polis dan dia hadir sendiri ke mahkamah hari ini untuk menghadapi pertuduhan. Oleh itu pohon jumlah jaminan minimum diberikan,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Khairunnisak membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 8 Oktober ini bagi sebutan kes.

Media sebelum ini melaporkan pelakon itu ditahan bersama beberapa individu lain dalam serbuan Ops Noda di sebuah pusat hiburan di ibu negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast