Mohammed Azman Aziz Mohammed

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan opsyen pengecualian atau opt-out bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung24 Jam) secara dalam talian bermula Isnin ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, langkah itu dibuat susulan keputusan Kabinet dan arahan Menteri Sumber Manusia supaya pekerja tempatan diberi pilihan untuk dikecualikan daripada skim berkenaan, tetapi caruman kekal diwajibkan kepada pekerja asing.

Menurut beliau, walaupun dasar itu diubah, Perkeso tetap menggalakkan pekerja tempatan untuk terus mencarum kerana skim berkenaan mampu menjamin kesinambungan pendapatan sekiranya ditimpa musibah di luar waktu bekerja.

Artikel berkaitan: UNI-MLC pertahan Lindung 24 Jam, gesa perlindungan pekerja tidak dikompromi

Tarik balik caruman mandatori Lindung 24 Jam, bagaimana RM270j yang sudah dikutip

Caruman Lindung 24 bukan lagi mandatori, umur pencen kekal 60 tahun

“Mengikut statistik, purata sekitar 27 kes setiap hari direkodkan Perkeso dengan penyaluran faedah Lindung 24 Jam hampir RM2 juta dalam tempoh sebulan skim ini berkuat kuasa.

“Kadar ini lebih tinggi berbanding sekitar 13 kes permohonan setiap hari yang terpaksa ditolak pada 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja,” katanya pada sidang media khas di Menara Perkeso hari ini.

Beliau berkata, perubahan dasar itu mungkin memberi kesan terhadap kemampanan dana dan keberkesanan penyaluran faedah dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, katanya, kajian semula mekanisme pelaksanaan Lindung 24 Jam bersama Kementerian Sumber Manusia akan dilaksanakan menjelang penghujung tahun ini.

Menurut Mohammed Azman, pencarum yang memilih untuk tidak meneruskan skim berkenaan perlu melengkapkan dan menandatangani perakuan pelepasan liabiliti sebagai asas perundangan sekiranya berlaku pertikaian pada masa hadapan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan tiada implikasi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan di luar waktu bekerja.

Sehingga 9 Julai lalu, skim Linduung 24 Jam melibatkan 207,000 majikan dan 2.27 juta pekerja, terdiri daripada 1.92 juta pekerja tempatan serta 307,000 pekerja asing, dengan jumlah caruman terkumpul sebanyak RM58 juta dan 1,056 tuntutan direkodkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast