FOXBOROUGH – Kylian Mbappe membantu Perancis menewaskan Maghribi 2-0 untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia awal pagi tadi biarpun dia gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama.
Namun gol pembukaan penyerang sensasi berusia 27 tahun itu telah memecahkan kebuntuan pada minit ke-60 menerusi rembatan lencong menarik dari luar kotak penalti.
Gol itu adalah jaringan kelapan Mbappe dalam kejohanan kali ini, sekali gus mengikat kedudukannya dengan Lionel Messi dalam perebutan Kasut Emas.
Mbappe turut membuktikan statusnya sebagai antara penyerang terbaik dunia apabila kini mengumpul 20 gol dalam 20 penampilan Piala Dunia hanya satu gol di belakang rekod keseluruhan Messi yang memiliki 21 jaringan.
Pada aksi itu, Mbappe turut mencipta bantuan gol buat Ousmane Dembele yang mengesahkan kemenangan Perancis di Stadium Gillette yang disaksikan 63,811 penonton.
Kemenangan itu menyaksikan Perancis sekali lagi menyingkirkan Maghribi selepas turut menewaskan wakil Afrika itu pada separuh akhir edisi 2022 di Qatar.
Les Bleus kini akan berdepan pemenang antara Sepanyol dan Belgium pada aksi separuh akhir di Dallas, Selasa depan.
Perancis yang muncul juara dunia pada 2018 dan naib juara pada 2022 kini semakin hampir untuk mara ke final ketiga berturut-turut dalam kejohanan terakhir Didier Deschamps sebagai ketua jurulatih. – Agensi
















