Edy Noor Reduan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) yakin rekod pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang menerajui Kerajaan Madani mampu menjadi faktor utama menarik sokongan pengundi atas pagar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus mengubah landskap politik negeri itu.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, situasi politik ketika ini jauh berbeza berbanding PRN Johor 2022 apabila PH berdepan kemerosotan moral susulan kekalahan di Melaka serta kesan Langkah Sheraton.

Menurutnya, ketika PRN Johor 2022 berlangsung, jentera PH berada dalam keadaan lemah dengan semangat yang merudum selepas gagal mencatat keputusan memberangsangkan pada PRN Melaka.

“Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) ketika itu turut dipengaruhi kadar keluar mengundi yang rendah apabila ramai pengundi atas pagar memilih untuk tidak mengundi kerana kebimbangan terhadap pandemik Covid-19.

“Pada waktu itu juga, populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mampu mengatasi kesan Langkah Sheraton. Beliau menjadi sasaran pelbagai cemuhan sebelum akhirnya berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Hari ini keadaannya berbeza. PH bukan sahaja mempunyai Anwar sebagai simbol harapan, malah beliau hadir bersama rekod pentadbiran yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, aura Anwar sebagai Perdana Menteri dijangka dapat meningkatkan kehadiran pengundi ke pusat mengundi, khususnya dalam kalangan pengundi atas pagar.

Selain itu, katanya, calon-calon PH pada PRN kali ini juga mempunyai identiti, integriti dan rekod perkhidmatan masing-masing yang diyakini mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap gabungan tersebut.

Mengulas mengenai kedudukan BN, Edy berkata, tekanan sebenar kini berada di bahu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang berdepan cabaran mempertahankan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi gabungan itu pada PRN lalu.

Beliau mendakwa, situasi politik ketika ini turut mempunyai persamaan dengan tahun 2022 apabila pilihan raya diadakan lebih awal daripada jangkaan, namun menegaskan suasana semasa telah banyak berubah berikutan prestasi Kerajaan Madani.

Edy turut mengajak rakyat Johor memberi peluang kepada PH untuk membentuk kerajaan negeri baharu, dengan mendakwa gabungan itu mampu membawa model pembangunan yang menggabungkan kekuatan Johor bersama pengalaman pentadbiran negeri-negeri diterajui PH.

Beliau berpandangan, gabungan tersebut berpotensi memperkukuh pembangunan ekonomi, perpaduan serta kebajikan rakyat sekiranya diberi mandat mentadbir Johor. — MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast