JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa cubaan mengaitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpunca daripada kegagalan pihak lawan menguasai naratif mengenai projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).
Beliau berkata, walaupun kerajaan merasmikan operasi LRT3 baru-baru ini, perhatian masyarakat khususnya di media sosial lebih tertumpu kepada penghargaan terhadap pentadbiran Najib yang memulakan projek berkenaan.
“Saya bukan baca berita sangat, saya baca komen. Saya tengok kebanyakan komen bukan ucap terima kasih kepada PMX.
“Sebaliknya banyak ucap terima kasih kepada Datuk Seri Najib, terima kasih Bosku,” katanya ketika berucap pada ceramah Barisan Nasional (BN) di Anjung Selera Taman Cempaka, Kempas, di sini, malam ini.
Pada 1 Julai lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan penghargaan kepada Najib kerana mendengar titah baginda untuk membangunkan sistem rel menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Baginda turut mengucapkan syabas kepada Anwar kerana meneruskan projek itu sehingga berjaya disiapkan.
Dalam masa sama, Seri Paduka menegaskan kejayaan LRT3 merupakan hasil kesinambungan beberapa pentadbiran dan tidak wajar dikreditkan kepada mana-mana pihak secara bersendirian.
Khairy turut mengaitkan penyebaran kain rentang yang mendakwa kemenangan BN di Johor akan membawa kepada pembebasan Najib sebagai sebahagian daripada strategi politik pihak lawan.
“Menang atau kalah BN di Johor tidak ada kena-mengena langsung dengan soal pengampunan Datuk Seri Najib. Itu kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Tegasnya, isu tersebut sengaja dimainkan bagi menghidupkan semula sentimen politik yang pernah digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“LRT3 bukanlah projek yang dirancang dalam tempoh pentadbiran semasa semata-mata, sebaliknya dilancarkan pada 2016 ketika Najib menjadi Perdana Menteri sebelum diteruskan sehingga siap oleh kerajaan berikutnya,” katanya.
Beliau berkata, projek infrastruktur berskala besar seperti LRT3 dan Rapid Transit System (RTS) Johor Bahru-Singapura membuktikan dasar pembangunan yang dirancang secara berterusan mampu memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira perubahan kerajaan.
“LRT3 bermula pada zaman Datuk Seri Najib. RTS juga bermula pada zaman beliau. Projek seperti ini adalah kesinambungan pembangunan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















