PASIR GUDANG – Umat Islam diingatkan supaya tidak mengambil sikap berkecuali atau tidak mengendahkan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung esok.
Imam Ahmad Aidil Aiman, menerusi khutbah Jumaat yang disampaikan di Surau Al-Ghufran, Bandar Bistari Perdana di sini hari ini berkata, sikap meminggirkan tanggungjawab mengundi dengan alasan sistem demokrasi tidak selari dengan syariat Islam hanya akan merugikan diri sendiri dan masyarakat.
Menurutnya, sikap sedemikian menunjukkan seseorang mengabaikan tanggungjawab sebagai warganegara yang diberi peluang memilih kerajaan terbaik untuk mentadbir negeri.
“Sikap sedemikian hanyalah suatu tindakan yang merugikan kerana dianggap mengabaikan tanggungjawab kenegaraan untuk memilih sebuah kerajaan yang terbaik.
“Bahkan tuntutan ini selaras dengan kaedah fiqh yang bermaksud, ‘Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengannya, maka ia juga menjadi wajib’,” katanya.
Teks khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu turut dibacakan di semua masjid dan surau di seluruh Johor.
Menurut Ahmad Aidil, setiap rakyat Johor yang berusia 18 tahun ke atas wajib memainkan peranan dalam memilih kerajaan yang berkelayakan serta mampu mentadbir negeri dengan baik demi menjamin kesinambungan pembangunan dan kemajuan.
Ahmad Aidil berkata, PRN Johor yang akan berlangsung esok merupakan suatu lembaran sejarah yang penting terhadap masa depan Johor.
Justeru katanya, atas rasa kasih dan sayang kepada negeri ini, maka setiap ahli masyarakat mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan pada hari esok.
“Terdapat beberapa nasihat penting yang ingin disampaikan melalui mimbar Jumaat hari ini supaya kita insaf dan menyedari kepentingan menunaikan tanggungjawab besar ini,” katanya.
Beliau berkata, memilih pemimpin untuk mentadbir negeri merupakan tuntutan yang amat penting dalam pembentukan sebuah kerajaan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan dan Persekutuan.
“Sistem ini menjelaskan pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang menggabungkan sistem demokrasi dengan institusi pemerintahan beraja.
“Justeru, rakyat yang sayangkan negeri ini perlu memanfaatkan saluran demokrasi ini dan tidak memandang ringan proses memilih kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Mereka yang dipilih dalam pilihan raya bukan sahaja memikul amanah sebagai pemimpin, malah bertanggungjawab mentadbir serta memajukan negeri ini.
“Maka menjadi kewajipan setiap umat Islam untuk keluar mengundi bagi memilih kerajaan negeri sebagai salah satu tuntutan syarak, bertujuan menegakkan keadilan serta memelihara maqasid syariah,” katanya. – MalaysiaGazette
















