Bot pelancong terbalik di selatan Vietnam, 15 maut
HANOI, Vietnam – Sekurang-kurangnya 15 orang maut selepas sebuah bot laju yang membawa pelancong warga India terbalik berhampiran Pulau Phu Quoc di selatan Vietnam hari ini.
Menurut portal berita VnExpress, bot berkenaan membawa 36 penumpang sebelum terbalik kira-kira 400 meter dari Pulau Kecil May Rut Ngoai.
Beberapa bot pelancong dan bot Pengawal Pantai Vietnam digerakkan dalam operasi menyelamat, dengan sejumlah mangsa berjaya diselamatkan dari laut.
Akhbar Tuoi Tre yang memetik polis tempatan melaporkan, 21 mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan kecemasan, dengan dua daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Menurut laporan itu, kesemua 15 mangsa yang terkorban adalah warga asing.
Kedutaan India di Vietnam mengesahkan bot yang terbalik itu membawa beberapa pelancong India, namun memaklumkan butiran tepat mengenai kejadian masih dalam siasatan.
Pegawai Parti Komunis yang memerintah di wilayah berkenaan, Nguyen Tien Hai berkata, pihak berkuasa masih mengesahkan jumlah sebenar mangsa yang terselamat.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati bot laju itu dipercayai terbalik akibat angin kencang dan ombak besar.
Terletak di selatan Pulau Phu Quoc, Pulau Kecil May Rut Ngoai terkenal dengan air laut yang jernih, pantai berpasir putih serta lokasi menyelam yang mudah diakses.
Kebanyakan pelancong ke pulau kecil itu menggunakan perkhidmatan bot laju dari Pulau Phu Quoc.
Pulau Phu Quoc mencatatkan pertumbuhan pesat sektor pelancongan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan lebih 1.8 juta pelancong asing mengunjunginya tahun lalu.
Kemalangan bot kerap berlaku di Vietnam berikutan cuaca ekstrem, banjir berterusan dan penyelenggaraan yang tidak mencukupi.
Pada Julai tahun lalu, 39 orang maut apabila sebuah bot pelancong yang membawa beberapa keluarga terbalik di Teluk Ha Long, utara Vietnam selepas dipukul ribut secara tiba-tiba. – Agensi
















