Dr Zaliha menunaikan tanggungjawab di  SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Rakyat Johor diseru untuk keluar mengundi lebih awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mengelakkan kemungkinan cuaca buruk di sebelah petang.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, faktor ramalan cuaca itu  mendorong rata-rata pengundi yang memilih untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka lebih awal, pagi ini.

“Kehadiran pengundi yang mula memenuhi pusat-pusat mengundi sejak awal pagi menunjukkan pergerakan yang sangat positif, sekali gus memberi petanda ‘mood’ pilihan raya kali ini amat baik.

“Dalam perjalanan dari rumah di Kulai ke sini, mendapati kawasan sekitar sekolah yang dijadikan pusat mengundi mula dikunjungi orang ramai yang mahu menyelesaikan proses pengundian sebelum keadaan cuaca berubah.

“Tindakan pengundi keluar awal pada sebelah pagi ini berkemungkinan besar disebabkan mereka tahu ramalan cuaca yang dijangka hujan pada sebelah tengah hari atau petang nanti.

“Alhamdulillah, tinjauan yang dibuat memang menunjukkan penyertaan yang amat menggalakkan daripada pengundi yang memilih datang awal ke pusat mengundi,” katanya ketika kepada pemberita hari ini.

Dr Zaliha tiba di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, di sini bersama-sama suami, Dr Ahmad Adzlan Musa kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

Beliau berkata, kesesakan aliran trafik yang sesak di sepanjang laluan utama dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, termasuk di Tambak Johor (Causeway), membuktikan kesedaran rakyat untuk menunaikan tanggungjawab mereka adalah tinggi.

Tambahnya, petanda awal tersebut membuatnya optimis sasaran 70 peratus yang keluar mengundi seperti yang dijangkakan sebelum ini tercapai.

“Sepanjang tempoh berkempen, jentera PH telah bergerak secara intensif bagi menyeru dan memastikan pengundi luar pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

“Insya-Allah, kita mengharapkan peratusan mengundi kali ini melebihi 70 peratus. Jika sasaran ini tercapai, ia menunjukkan tanda-tanda positif bahawa PH mempunyai peluang yang tinggi untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Johor,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast