KUALA LUMPUR – Undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol telah dipinda dan diperketatkan sejak 2020.
Pengarah Komunikasi Keadilan Cabang Lumut, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata, seseorang yang didapati memandu dengan paras alkohol melebihi had walaupun tidak menyebabkan kemalangan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000 serta hilang kelayakan lesen sekurang-kurangnya dua tahun.
Jika menyebabkan kecederaan, hukumannya meningkat kepada penjara tujuh hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000.
Manakala jika menyebabkan kematian pula, pesalah berdepan penjara 10 hingga 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 serta hilang kelayakan lesen sekurang-kurangnya 10 tahun.
“Jangan kerana disaman akibat tidak memakai topi keledar, kemudian dibina pula persepsi seolah-olah hukuman terhadap pemandu mabuk di negara ini terlalu ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, semalam.
Semalam, ADUN Merlimau itu memuji tindakan pantas Menteri Pengangkutan yang mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman beliau dan penunggang lain yang tidak memakai topi keledar semasa program bersama anak muda Felda Ulu Dengar, minggu lepas.
ARTIKEL BERKAITAN
Sambil mengaku bersalah di atas kesalahan tersebut, beliau juga mengambil tanggungjawab untuk membayar saman yang dikenakan dengan kadar segera.
Dr Akmal turut membangkitkan isu pemandu mabuk yang mengakibatkan kemalangan maut yang didakwanya telah lama diabaikan Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan.
Dalam pada itu, Mohd Ikhmal menegaskan, penguatkuasaan terhadap pemandu mabuk juga bukan sekadar di atas kertas.
Sebanyak 149 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk telah didakwa di mahkamah bagi Januari 2021 hingga September 2024.
Polis turut membuat tangkapan terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah melibatkan 3,299 tangkapan pada 2023; 2,648 tangkapan (2024); 1,820 tangkapan (2025); dan 912 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Dalam kes tertentu, bergantung kepada fakta, bukti dan keadaan kejadian, pihak pendakwaan juga boleh mempertimbangkan pertuduhan yang lebih berat di bawah undang-undang berkaitan.
“Jadi, bahagian mana yang dikatakan ringan? Penjara ringan?
“Denda puluhan ribu ringgit ringan? Lesen digantung bertahun-tahun ringan?
“Atau pertuduhan yang lebih berat juga masih dianggap ringan?
“Tidak memakai topi keledar ialah satu kesalahan. Memandu dalam keadaan mabuk ialah kesalahan lain yang jauh lebih berat. Kedua-duanya tetap salah dan tidak menjadi betul hanya kerana dibanding-bandingkan,” ujar beliau lagi.
Tegas Mohd Ikhmal, perbahasan untuk terus memperkukuh undang-undang sentiasa terbuka.
Namun, semua pihak diminta untuk tidak menafikan fakta bahawa undang-undang telah dipinda, hukuman telah diperberat dan penguatkuasaan sedang dilaksanakan.
Semak undang-undang dan data terlebih dahulu sebelum menjadikan saman sendiri sebagai modal politik,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















