Sivamalar Genapathy

JOHOR BAHRU – Pengundi Johor diminta menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian hari ini bagi memastikan kerajaan negeri yang bakal dibentuk memperoleh mandat yang kukuh daripada rakyat.

Timbalan Setiausaha Agung merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy berkata, kadar keluar mengundi yang tinggi penting dalam memperkukuhkan amalan demokrasi dan memastikan suara rakyat diterjemahkan menerusi peti undi.

Beliau berkata, pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 yang merekodkan hanya kira-kira 55 peratus keluar mengundi seharusnya menjadi pengajaran agar keadaan sama tidak berulang.

“Peratusan keluar mengundi yang rendah tidak pernah baik untuk demokrasi. Kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya perlu lahir daripada mandat rakyat yang luas.

“Semakin ramai rakyat keluar mengundi, semakin kukuh mandat yang diberikan kepada kerajaan yang bakal mentadbir Johor,” katanya.

Menurut Sivamalar, Johor pernah mencatat sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 apabila rakyat keluar beramai-ramai menggunakan hak mengundi sehingga menyaksikan perubahan landskap politik.

Katanya, semangat sama perlu diteruskan dengan memastikan setiap pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau turut mengajak pengundi mengingatkan ahli keluarga dan rakan-rakan yang layak supaya keluar mengundi, sekali gus membantu meningkatkan kadar penyertaan pada hari pengundian.

Sivamalar berkata, setiap undi mempunyai nilai dalam menentukan hala tuju Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Saya tidak meminta rakyat mengundi mengikut kehendak mana-mana pihak. Gunakan hak mengundi mengikut hati nurani dan keyakinan masing-masing.

“Yang paling penting, keluarlah mengundi dan laksanakan tanggungjawab sebagai rakyat dalam sebuah negara demokrasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast