Chin Kam Wah.

JOHOR BAHRU – Penetapan hari mengundi Pilihan Raya Johor (PRN) Johor pada Sabtu hari ini tidak memberi masalah kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Seorang pengundi, Chin Kam Wah, 55, berkata, ia kerana dia telah membuat permohonan awal mengambil cuti tahunan sebaik tarikh pengundian PRN diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau yang sudah 30 tahun bekerja di negara jiran itu sebagai kontraktor memberitahu, mengundi itu penting untuk memilih kerajaan dan wakil rakyat selain majikannya sendiri menggalakan rakyat Malaysia pulang ke Johor untuk mengundi.

“Saya ambil cuti awal kerana satu undi itu penting. Kawan-kawan saya yang kerja di sana pun ramai balik mengundi. Lagi pun majikan memang galak balik mengundi.

“Saya bercuti dua hari dan esok malam akan balik ke Singapura.

“Saya balik Johor Bahru seminggu sekali kecuali kena kerja lebih masa,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas selesai membuang undi bersama isteri dan tiga anaknya di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa Tebrau, Johor Bahru di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdan Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SPR wajar mempertimbangkan penetapan hari mengundi yang lebih sesuai bagi menggalakkan lebih ramai pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau secara peribadi berpendapat tidak sesuai untuk mengadakan PRN Johor pada hari Sabtu susulan terdapat pengundi yang bekerja separuh hari pada hari tersebut dan terpaksa bergegas pulang balik ke Johor untuk mengundi.

Namun sejak PRN Johor 2022, semua pilihan raya utama dan pilihan raya kecil (PRK)  diadakan pada hari Sabtu.

Buktinya, PRN Johor ke-15 diadakan pada 12 Mac 2022, Pilihan Raya Umum ke-15 (19 November 2022), PRN enam negeri (12 Ogos 2023), PRK Kuala Kubu Baharu (11 Mei 2024), PRK Nenggiri (17 Ogos 2024), PRK Mahkota (28 September 2024) dan PRN Sabah (29 November 2025).

Ng Hee Hock.

Sementara itu seorang lagi pengundi yang bekerja di Singapura, Ng Hee Hock, 66, bersyukur kerana hari ini merupakan satu kebetulan hari cuti buat dirinya.

Katanya, ia membolehkan dia tidak perlu memohon cuti awal sekiranya bekerja pada hari ini.

Namun dia memberitahu, tidak menjadi masalah buat dirinya untuk memohon cuti tahun untuk mengundi pada PRN Johor ini.

Hari ini 2.73 juta pengundi di Johor akan menentukan siapa antara Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) yang akan mentadbir negeru itu.

Sekitar pukul 10 malam ini, rakyat akan mengetahui siapa pilihan pengundi di negeri itu untuk membawa kemajuan buat mereka lima tahun ke hadapan.

PRN Johor kali ini turut menyaksikan jumlah pengundi muda berusia antara 18 hingga 29 tahun seramai 714,223 juga boleh menjadi king maker kepada pola pengundian kali ini.

Daripada jumlah itu, 169,380 pengundi adalah mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun, yang sebahagiannya dipercayai pengundi kali pertama.

Sementara itu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa menyaksikan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mewakili Pakatan Harapan berdepan pertandingan lima penjuru melibatkan Teow Chia Ling (BN), Nicholas Paul Vincent (BERSAMA), Rashifa Al Junied (MUDA) dan calon Bebas, Wang Wee Siong.

Dengan 128,723 pemilih berdaftar, ia antara kerusi terbesar dari segi jumlah pengundi dan dijangka menjadi antara persaingan paling sengit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast