JOHOR BAHRU – Semua pihak perlu kembali bersatu sebagai rakyat Malaysia sebaik sahaja proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selesai malam ini.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, segala perbezaan fahaman politik dan kepartian perlu diketepikan demi kesejahteraan serta keharmonian negeri.
Beliau berkata, selepas menunaikan tanggungjawab mengundi dan keputusan rasmi diumumkan, semua pihak perlu kembali mengutamakan perpaduan sebagai rakyat Malaysia.
“Harapan saya supaya semua pengundi keluar mengundi. Doa saya, selepas kita menamatkan tanggungjawab itu dan keputusan diumumkan malam ini, kita kembali bersatu sebagai rakyat Malaysia.
“Kita ketepikan perbezaan politik dan kepartian kerana hakikatnya rakyat Malaysia ini tidak sampai satu peratus daripada populasi dunia.
“Kita masih berdepan banyak masalah yang perlu dihadapi dan diselesaikan bersama. Yang penting, selepas PRN berakhir, kita kembali bersatu sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Syed Saddiq tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera di sini pada kira-kira pukul 1.45 petang bersama ibu, bapa dan kakak sulungnya.

Syed Saddiq yang juga bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) turut menyeru lebih ramai rakyat Johor agar keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Johor.
Beliau berkata, masih belum terlambat untuk pengundi hadir ke pusat mengundi dan memainkan peranan memilih wakil rakyat yang bakal mentadbir kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Saya faham kadangkala kesesakan lalu lintas sangat luar biasa, contohnya di bahagian utara Johor, khususnya di kawasan saya. Selain itu, cuaca hujan sejak pagi tadi juga mungkin menjadi kekangan.
“Apabila hujan reda, keluarlah mengundi. Bagi yang sudah mengundi, jangan lupa ingatkan rakan-rakan dan hubungi ahli keluarga supaya turut menunaikan tanggungjawab itu,” katanya. – MalaysiaGazette
















