Dr. Rasyikah Khalid (lima kiri) bersama delegasi dari beberapa buah negara ketika menyertai 2026 Conference on Exchanges and Mutual Learning of Rule of Law Civilizations, di Sheraton Lize Beijing, baru-baru ini.

BANGI – Fakulti Undang-Undang (FUU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang diwakili oleh Dekannya, Prof. Dr. Rasyikah Khalid diberi peluang menyampaikan ucapan di 2026 Conference on Exchanges and Mutual Learning of Rule of Law Civilizations, di Sheraton Lize Beijing bagi memenuhi jemputan China University of Political Science and Law (CUPL), baru-baru ini.

Persidangan yang dihadiri oleh lebih 150 sarjana dan hakim dari 26 buah negara ini menjadi platform penting untuk memperkukuh dialog antara tamadun perundangan global.

Menurut Prof Dr Rasyikah, penyertaan FUU UKM merupakan satu pengiktirafan terhadap UKM serta menjadi platform penting dalam mempertingkatkan kerjasama strategik dengan universiti terkemuka di rantau ASEAN dan China.

“Inisiatif ini membuka ruang luas bagi jalinan antara institusi dan industri perundangan di kedua-dua rantau, di samping menyediakan peluang latihan industri serta prospek kerjaya yang lebih meluas kepada para pelajar FUU UKM,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn yang hadir memberi ucaptama dalam persidangan tersebut menegaskan pertukaran dan pembelajaran bersama antara sistem perundangan adalah penting dalam membina persefahaman, memperkukuh kepercayaan, menangani cabaran rentas sempadan serta kepentingan kerjasama berasaskan kedaulatan undang-undang.

Pada majlis yang sama, Kim Hourn turut melancarkan China-ASEAN School yang menghubungkan fakulti undang-undang terbaik dari negara-negara ASEAN dan China, selain menggalakkan pertukaran dua hala dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan amalan perundangan.

China-ASEAN School bakal melahirkan bakat perundangan yang berpengetahuan merentas sistem undang-undang serta mahir dalam kerjasama rentas sempadan, khususnya dalam konteks hubungan ASEAN dan China yang semakin berkembang.

Pelancaran itu turut disokong oleh inisiatif kerjasama pendidikan dan latihan bakat perundangan antarabangsa, sekali gus memperkukuh jaringan antara institusi akademik, badan kehakiman dan organisasi antarabangsa. – AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast