JOHOR BAHRU – Kegagalan parti Bersama dan Pas untuk meraih sebarang kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berpunca daripada kelemahan strategi jentera serta penyampaian mesej politik yang mengelirukan pengundi.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, berdasarkan pemerhatian dan kajian sepanjang tempoh pilihan raya, kekalahan parti baharu seperti Bersama sebenarnya sudah dijangka ekoran persiapan kempen yang gagal memenuhi ekspektasi pengundi Johor.
“Gerak kerja jentera dan naratif kempen yang disusun oleh Bersama awal-awal lagi sudah terganggu berikutan kontroversi membabitkan ucapan calon mereka pada fasa permulaan kempen.
“Di negara maju, kemunculan parti baru bukan perkara pelik tetapi syaratnya adalah dengan memanfaatkan trending yang ada di media sosial, kempen lebih segar keluar dari tradisi, tidak menggunakan perang bendera tapi manfaatkan media sosial,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Katanya, seharusnya Bersama tidak menggunakan segmen yang sama seperti parti-parti sedia ada.
“Jika Bersama menyasarkan pertembungan tiga, empat atau lima penjuru memadai mereka dapat 33 peratus, itu pun kalau mereka menyasarkan pengundi muda.
“Kelompok pengundi berusia 18 hingga 40 tahun adalah 52 peratus tetapi segmen ini tidak diisi oleh Bersama walaupun kita melihat Datuk Seri Rafizi Ramli sangat aktif di media sosial tetapi tidak memadai dalam kempen pilihan raya,” katanya lagi.
Selain itu, Hisomuddin berkata, kegagalan Bersama juga disebabkan ketika sesi memperkenalkan calon.
“Mereka parti baharu, orang nak tahu siapa calon, di mana profil mereka, ditambah ucapan yang mengundang kontroversi, ada yang seperti nak ajak bergaduh.
“Bersama juga gagal menampilkan kempen yang lebih segar, khususnya untuk disesuaikan dengan segmen pengundi baharu dan generasi muda.
“Elemen-elemen pembaharuan yang sepatutnya dibawa oleh sebuah parti baharu tidak kelihatan.
“Mereka juga dilihat gagal memanfaatkan platform media sosial semaksimum mungkin untuk memperkenalkan calon serta perjuangan yang ingin dibawa bagi dinilai oleh pengundi Johor,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi longlai Pas, Hisomuddin berkata, parti Islam itu telah membawa pendekatan yang berbeza langsung dengan perjuangan rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN).
“Retak menanti belah dalam PN akibat perbalahan dalaman antara Bersatu dan Pas akhirnya mencetuskan dua mesej yang bercanggah di padang sasar.
“Apabila Pas menyatakan keputusan untuk menyokong Barisan Nasional (BN), ia memberi gambaran seolah-olah PN bukan lagi lawan sebenar kepada BN. Sebaliknya, mereka telah mengubah haluan menjadi parti yang membantu dan memberikan ‘nyawa’ kepada BN di Johor.
“Isyarat ini sangat mengelirukan pengundi PN terutamanya generasi muda yang dahulunya memilih gabungan itu,” katanya.
Tambahnya, pendirian Pas ini sangat kontradik dengan apa yang diperjuangkan sebelum ini apabila PN tampil sebagai kuasa baharu menggugat dominasi BN di jajaran Melayu.
Ditanya mengenai impak kekalahan kepada kedua-dua parti itu, Hisomuddin berkata, Bersama perlu kembali ke meja rundingan untuk menyusun semula strategi serta memperbaiki kaedah kempen yang lebih relevan jika mahu menawarkan diri dalam PRN di negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Melaka.
“Bagi Pas pula, pendirian mereka yang condong membantu BN perlu dimuktamadkan segera di peringkat induk PN memandangkan jawatan Pengerusi PN kini diterajui oleh pemimpin daripada Pas sendiri,” katanya.
Perkara tersebut, tegasnya, perlu dituntaskan oleh PN secara konsensus dan bukannya oleh Pas secara bersendirian.
“Menjelang PRN Negeri Sembilan tidak lama lagi, keupayaan kedua-dua parti ini akan terus diuji.
“Sekiranya tiada pembaharuan jelas dan PN gagal membentuk satu ketumbukan yang meyakinkan, saya khuatir jenama PN akan terus tercalar sekali gus mengakibatkan kehilangan defisit keyakinan daripada pengundi.
“Malang besar buat PN memandangkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, mereka pernah tampil gagah sebagai pencabar utama sehingga berjaya menewaskan dominasi BN di kawasan majoriti Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette
















