Datuk Onn Hafiz Ghazi dilantik sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan rasa syukur serta menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan melantik beliau sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu turut merafakkan sembah menjunjung kasih Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas limpah perkenan serta kepercayaan yang diberikan untuk beliau terus memikul amanah menerajui pentadbiran negeri.

“Amanah tersebut akan dilaksanakan dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor.

“Saya sedar setiap keputusan yang akan dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan Bangsa Johor.

“Justeru, saya berdoa agar Allah SWT terus membimbing setiap langkah, mengurniakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta menetapkan hati saya untuk sentiasa berlaku adil, amanah dan ikhlas,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor menang 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast