JOHOR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah selesai, keputusan sudah pun diketahui namun satu persoalan masih tergantung di fikiran ramai ialah bila pemimpin DAP, Nga Kor Ming akan menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan?
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini masa terbaik untuk Kor Ming membuktikan janji politik bukan sekadar modal kempen.
Ujarnya perhatian kini tertumpu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yang sebelum ini dilaporkan berjanji akan meletakkan jawatan sekiranya PH gagal mencapai sasaran pada PRN Johor.
Menurutnya, rakyat kini sedang menunggu sama ada pemimpin DAP itu benar-benar berpegang kepada janji atau sebaliknya.
“Sudah semestinya rakyat sedang menunggu sama ada janji tersebut akan ditunaikan. Pemimpin DAP ini perlulah menunaikan janji yang lafazkan. Jika tidak DAP adalah parti yang hanya pandai berjanji namun tiada integriti,” katanya dalam kenyataan.
Tuan Ibrahim berkata, keputusan PRN Johor membuktikan Pakatan Harapan (PH) masih gagal mengembalikan keyakinan rakyat apabila bukan sahaja gagal merampas pentadbiran negeri, malah turut kehilangan beberapa kerusi yang dimenangi sebelum ini.
Katanya, walaupun Perdana Menteri turun berkempen secara agresif sepanjang pilihan raya, ia masih belum cukup untuk mengubah sentimen pengundi.
“Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah Perdana Menteri dalam sejarah yang kerap turun berkempen dalam PRN.
“Ternyata kehadiran beliau masih belum cukup meyakinkan kembali rakyat yang semakin nampak beliau dan pasukannya dari parti PH tidak amanah menunaikan janji,” katanya.
Bagi Pas dan Perikatan Nasional (PN), keputusan itu perlu dijadikan medan muhasabah di mana kegagalan mempertahankan tiga kerusi menunjukkan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki khususnya dari aspek penyelarasan organisasi, kekuatan jentera dan kesatuan dalaman
Tambah ADUN Cheka itu, post mortem yang menyeluruh semestinya akan dilakukan supaya persediaan menghadapi PRN Negeri Sembilan dan pilihan raya seterusnya menjadi lebih tersusun dan berkesan.
“Dalam masa yang sama, saya melihat kemunculan parti baharu, BERSAMA dan juga parti MUDA masih belum berjaya menawarkan alternatif yang benar-benar diyakini rakyat.
“Sebaliknya, pertandingan pelbagai penjuru telah memecahkan undi pembangkang dan memberikan kelebihan yang besar kepada BN,” katanya.
Daripada keseluruhan keputusan PRN Johor semalam Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga melihat kemungkinan besar Pilihan Raya Umum Ke-16 tidak akan diadakan dalam masa terdekat.
Kerajaan dijangka meneruskan pentadbiran sehingga hampir tamat penggal bagi memanfaatkan kelebihan semasa, katanya.
Apa yang pasti, kemenangan besar BN menjadikan parti itu memiliki pengaruh semakin besar dalam menentukan dasar dan hala tuju kerajaan Persekutuan. Ia akan menjadi duri dalam daging kepada kerajaan PH-BN.
Semalam BN melakar kemenangan besar dalam PRN Johor ke-16 selepas jauh melebihi majoriti dua pertiga sekali gus mengekalkan penguasaan pentadbiran negeri itu untuk satu lagi penggal.
BN telah memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 yang dipertandingkan manakala PH meraih lapan kerusi manakala gabungan atau parti lain gagal memenangi sebarang kerusi. – MalaysiaGazette
















