LONDON – Pemain bola sepak Afrika Selatan, Jayden Adams yang mewakili negaranya pada Piala Dunia 2026 baru-baru ini meninggal dunia pada usia 25 tahun, umum Konfederasi Bola Sepak Afrika.
Anadolu Ajansi melaporkan, pemain kelab Afrika Selatan Mamelodi Sundowns itu muncul dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan pasukan kebangsaan bulan lalu dalam kejohanan tersebut.
Dia membantu Afrika Selatan mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama dalam sejarah sebelum disingkirkan pada 28 Jun oleh tuan rumah bersama Kanada di pusingan 32.
Menurut polis Afrika Selatan, siasatan telah dibuka selepas mayat seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui di sebuah rumah di Schotschekloof, Cape Town pada pagi semalam namun punca kematian belum disahkan.
Menteri Sukan, Kesenian dan Kebudayaan Afrika Selatan Gayton McKenzie menggesa orang ramai dan media mengelakkan spekulasi sementara keluarga dan kelab Adams menunggu maklumat rasmi.
“Bola sepak Afrika Selatan kehilangan salah seorang bakat muda yang paling cemerlang,” kata McKenzie, mengucapkan takziah kepada keluarga Adams, rakan sepasukan dan penyokong.
Adams membuat penampilan sulung antarabangsa peringkat senior pada 2022 dan juga sebahagian daripada skuad Afrika Selatan yang mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika 2023.
Beliau memulakan kerjaya profesional di Stellenbosch FC sebelum menyertai Mamelodi Sundowns pada Januari 2025, memenangi liga domestik dan gelaran Liga Juara-Juara Afrika bersama kelab itu.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, turut mengucapkan takziah, berkata Adams akan “sangat dirindui” oleh komuniti bola sepak global. – Agensi
















