Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan

JOHOR BAHRU – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor didakwa menunjukkan rakyat sudah mengalihkan sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN) dan sedang menantikan perubahan besar dalam pentadbiran negara.

Naib Pengerusi BN, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, kemenangan besar BN dalam PRN Johor itu merupakan petanda jelas rakyat sekali lagi meletakkan kepercayaan mereka kepada BN.

Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) itu berkata, lebih menggalakkan, pengundi Cina dan India kini memberikan sokongan yang semakin kukuh kepada BN.

“Rakyat mahukan tadbir urus yang baik, dan BN komited sepenuhnya untuk menyediakan pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan bebas rasuah. Kesilapan lalu tidak akan berulang.

“Sebaliknya, integriti dan kepimpinan yang bertanggungjawab untuk melindungi hak rakyat serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan akan terus menjadi tanggungjawab utama kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, masyarakat India dan Cina bersama-sama seluruh rakyat Malaysia, akan mendapat manfaat daripada komitmen BN terhadap pembangunan inklusif dan tadbir urus yang baik.

“Saya amat yakin bahawa kemenangan besar BN di Johor akan mencetuskan gelombang biru dalam PRN Negeri Sembilan dan Melaka serta dalam pilihan raya umum akan datang,” ujar beliau.

PPP katanya, akan menyumbang kekuatannya kepada kejayaan BN di Johor dan terus bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN di Negeri Sembilan dan Melaka.

Tambahnya, BN akan memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih telus, bertanggungjawab dan berintegriti kerana rakyat Malaysia sudah mengembalikan kepercayaan dan keyakinan mereka kepada BN.

“Banyak pemimpin pembangkang telah memberikan pelbagai alasan mengenai kemenangan BN di Johor, namun hakikatnya amat mudah, rakyat mahukan Barisan Nasional kembali memimpin negara,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast