KUALA LUMPUR – Akaun Facebook rasmi Datuk Seri Najib Razak hari ini memuat naik satu hantaran yang dilihat menyindir dakwaan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan membawa kepada pembebasannya.
Menerusi hantaran yang dipercayai ditulis oleh pentadbir akaun berkenaan, ia mempersoalkan sama ada naratif yang dimainkan sepanjang kempen PRN Johor sebelum ini sudah menjadi kenyataan.
“Rasanya PH (Pakatan Harapan) tak mungkin bohong pada rakyat Johor. Bahawa BN menang besar di Johor, Najib bebas.
“Jadi, Najib bebas hari ini tak? Sekitar pukul berapa?” soal kenyataan hantaran itu.
Sepanjang kempen PRN Johor, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pilihan raya negeri itu diadakan kerana ada pihak mahu kembali berkuasa sebelum membebaskan Najib.
Menurut beliau, BN memaksa PRN diadakan kerana merasakan mereka cukup kuat untuk kembali menguasai kerajaan.
Naratif sama turut dimainkan beberapa pemimpin PH lain yang mengaitkan kemenangan besar BN dengan kemungkinan pembebasan Najib.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegaskan keputusan pilihan raya tidak mempunyai kaitan dengan proses pengampunan diraja kerana ia merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, BN memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi lapan kerusi sementaranya Perikatan Nasional (PN) gagal memenangi sebarang kerusi. – MalaysiaGazette
















