PUTRAJAYA – Dalam situasi yang tidak diduga, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais `memanggil’ Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ke hadapan panel Mahkamah Persekutuan bagi menjelaskan prosiding rayuan hari ini.
Sejurus keputusan majoriti 2-1 diumumkan, beliau meminta Ahli Parlimen Muar itu menghampiri panel untuk menyampaikan `sepatah dua kata’ sebelum sidang mahkamah berakhir.
Galeri awam yang dipenuhi ahli keluarga dan penyokong Syed Saddiq, pada mulanya riuh dengan tepukan, senyap sejurus Syed Saddiq yang duduk di luar kandang perayu, melangkah ke arah panel.
“Walaupun kami hakim, kami juga manusia biasa dan mengikuti perkembangan di sekeliling kami. Kita memerhati, kita tahu apa yang berlaku di sekeliling kita.
“Kami tahu responden (Syed Saddiq) mempunyai perancangan apa yang nak dilakukan selepas ini. Sekarang kamu sudah tahu keputusan majoriti memihak kepada kamu, harapnya perancangan itu boleh dibuat mengikut apa yang sepatutnya,” ujar beliau.
Hakim Abu Bakar turut menyatakan, meskipun berjawatan hakim, mereka juga manusia biasa dan turut berada dalam keadaan tidak sihat.
“Jadi apabila ada hakim atau peguam tidak sihat, kes terpaksa ditangguhkan. Situasi seperti itu bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Di harap semua pihak dapat menerima keadaan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi hakim, Datuk Che Ruzima Ghazali mencelah dengan menyatakan, sebagai hakim, mereka tidak boleh mempertahankan diri terhadap sebarang bentuk kritikan yang dilemparkan oleh orang awam.
“Kita tidak boleh jawab pun. Oleh itu saya menasihatkan pihak-pihak supaya tidak membuat kenyataan yang tidak sepatutnya,” ujar beliau.
Menurut Hakim Che Ruzima, situasi disebut sebagai tidak pernah berlaku (unprecedented) apabila seorang hakim sakit walhal keputusan itu telah disediakan dan boleh dibacakan oleh ahli panel bersidang.
“Tapi dalam keadaan kes ini, apabila tiga hakim telah menulis alasan penghakiman masing masing, adakah wajar apabila seorang hakim itu tidak sihat, sebaliknya dikatakan perkara itu sebagai unprecedented? ujarnya.
Ketika mahkamah menangguhkan sidangnya pada 30 Jun lalu ekoran Hakim Che Mohd. Ruzima bercuti sakit, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq menyifatkan situasi tersebut sebagai tidak pernah berlaku.
Peguam tersebut berkata, situasi sedemikian kali pertama berlaku sepanjang beliau bertindak sebagai peguam di mahkamah. – MalaysiaGazette
















