PUTRAJAYA – Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais menjelaskan, keputusan minoriti beliau yang mengekalkan sabitan dan menghukum Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi tiga pertuduhan, tidak material dalam prosiding hari ini.
Beliau yang mengetuai panel tiga hakim berkata, ini kerana dua lagi anggota koram bersidang tidak memihak kepada beliau, sebaliknya mengekalkan pembebasan Ahli Parlimen Muar itu dengan keputusan majoriti 2-1.
Mereka ialah Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
“Sabitan dan hukuman (yang saya putuskan) bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat menjadi tidak material kerana saudara-saudara saya (dua lagi hakim) tidak bersama saya dalam perkara yang sama.
“Sebagai hakim Mahkamah Persekutuan (dalam sistem kami), mereka sudah tentu berhak (mencapai keputusan),” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika menjelaskan kesan terhadap keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir pendakwa raya.
Meskipun Hakim Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara dan denda, Syed Saddiq kekal bebas selepas dua lagi anggota panel bersidang mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskannya.
Terdahulu, Hakim Abu Bakar menerusi penghakiman menentang, membenarkan sebahagian rayuan pendakwa raya dan mengekalkan sabitan terhadapnya bagi tiga lagi pertuduhan.
Ia melibatkan satu pertuduhan salah guna harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Beliau menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM5 juta atau penjara dua tahun jika gagal membayarnya.
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan keputusan dua lagi hakim yang membebaskan Syed Saddiq daripada pertuduhan pertama iaitu bersubahat pecah amanah. – MalaysiaGazette
















