Bendera parti berkibar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2026.

BARISAN Nasional (BN) memperoleh mandat lebih kukuh malah hampir setiap calonnya mendapat majoriti undi yang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Kemenangan terbesar direkodkan BN adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas apabila Baharudin Mohamed Taib, memperoleh majoriti 29,505 undi dalam pertembungan empat penjuru.

UMNO memenangi 36 daripada 37 kerusi ditandingi dan hanya kalah di DUN Simpang Jeram manakala MCA menang lapan daripada 15 kerusi ditandingi.

MCA membuat kejutan apabila memecahkan dominasi DAP di kerusi DUN Johor Jaya melalui Chan San San dengan majoriti 7,268 undi sementara DUN Jementah berjaya dirampas See Ann Giap dengan majoriti 913 undi.

Chan San San terharu apabila diumumkan menang di kerusi tradisi DAP di DUN Johor Jaya

MIC pula memberi tamparan hebat apabila calon mereka, Pannir Selvam menembusi DUN Perling iaitu kawasan majoriti Cina dan menang dengan majoriti 1,611 undi.

Pada masa sama MIC membuat kejutan apabila menang di semua empat kerusi yang ditandingi termasuk berjaya memecahkan kubu tradisi DAP.

Pakatan Harapan (PH) pula hilang beberapa kerusi pada kali ini dengan hanya mendapat lapan kerusi dan dua daripadanya pula menang dengan majoriti tipis.

Calon PH, Ir Nazri Abd Rahman hanya menang majoriti 170 undi di DUN Simpang Jeram. Itu merupakan satu-satunya kerusi dimenangi Parti Amanah Negara (Amanah) daripada 19 kerusi yang ditandingi.

Sementara undi Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng yang mempertahankan kerusi DUN Stulang merosot dengan hanya mendapat majoriti 623 undi.

Beberapa panglima perang utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) tewas antaranya Timbalan Pengerusi PKR Johor, Md Ysahruddin Kusni (DUN Bukit Naning), Ketua Penerangan PKR Johor, Fakharuddin Moslim (DUN Pasir Raja) dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad (DUN Kempas).

Billboard yang memaparkan poster calon PH bagi kerusi DUN N35 Pasir Raja, Fakharuddin Moslim di tepi jalan di Kota Tinggi dirosakkan

Perikatan Nasional (PN) pula hilang semua ketiga-tiga kerusi disandang iaitu di DUN Bukit Kepong, Endau dan Maharani.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding 16 kerusi, Pas 11 kerusi dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) lima kerusi.

Bersatu tewas termasuk di Bukit Kepong selepas dua penggal memenanginya menerusi Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga bekas Menteri Besar Johor, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN) Johor dan Pengerusi PN Johor.

Begitu juga bekas Exco Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim (DUN Layang Layang) dan bekas Pengerusi Bersatu Johor serta bekas Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Kebudayaan Johor, Mazlan Bujang (DUN Kahang) yang bertanding atas tiket Pas kalah dengan calon UMNO walaupun bertanding di kerusi majoriti Melayu.

Dua tokoh di peringkat Parlimen iaitu bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon (PN-Bersatu) dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar juga tersungkur di DUN Senggarang di tangan penyandangnya, Mohd Yusla Ismail (BN).

Parti Bersama Malaysia (Bersama), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) serta calon Bebas yang turut bertanding masing-masing gagal mendapat sebarang kerusi.

Rashifah ketika berkempen untuk kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini merupakan satu-satunya kerusi DUN milik MUDA

Kemenangan BN dalam PRN Johor ke-16 bukan semata-mata kerana kekuatan mutlak atau rakyat sebenarnya sudah ‘kembali’ sepenuhnya ke pangkuan BN kerana banyak faktor yang memberikan sumbangan.

PRN Johor kali ini sangat sengit terutama melihatkan pertembungan BN Johor dan PH yang mempunyai hala tujunya sendiri. Di sebalik tabir pilihan raya ini merupakan pertembungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Tidak dinafikan isu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim dipinggirkan daripada DAP, isu Datuk Dr Puad Zakashi keluar UMNO dan isu debat antara Dr Maszlee Malik dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sedikit sebanyak mewarnai kempen PRN Johor ke-16.

Namun apa yang lebih kelihatan adalah pertempuran epik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Onn Hafiz. Mereka saling berbalas kritikan dan sindiran secara tersirat menerusi ucapan dalam kempen masing-masing.

Anwar selaku general utama PH di barisan hadapan menyerang kelemahan kerajaan negeri dengan menggunakan isu perumahan rakyat manakala Onn Hafiz mengkritik dasar serta polisi kerajaan Persekutuan yang didakwa membebankan rakyat.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama calon PH N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik dan calon PH N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad pada program Grand Finale Harapan Johor Selatan di Puteri Wangsa, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 09 JULAI 2026.

PH menggunakan ‘peluru’ gelombang hijau daripada Pas akan berlaku selain isu Datuk Seri Najib Razak akan dibebaskan dari penjara sekiranya rakyat memilih BN.

Onn Hafiz pula membalas dengan mempersoalkan janji-janji PH dalam pilihan raya lalu yang masih tidak ditunaikan selain terus menawarkan kestabilan dan kemajuan Johor jika BN terus diberi mandat pada kali ini.

PH hampir ‘ditalkinkan’ dalam PRN Johor ke-16 atas pelbagai sebab dan bukan kerana faktor Onn Hafiz sahaja.

Mungkin kerana rakyat amat terbeban dengan cara kerajaan Persekutuan ditunjangi PH mengemudi negara dan janji-janji terdahulu yang masih tidak ditunaikan.

Sentimen anti Persekutuan dan PH amat menebal ketika ini dan pengundi yang marah meluahkan dan menyampaikan mesej dalam peti iundi.

Ternyata pergolakan dalaman Bersatu dan PN juga turut mempunyai kesannya sendiri terhadap pengundi yang hilang keyakinan untuk berpaut kepada gabungan ini.

Begitu juga penulis sebelum ini dalam analisis terdahulu pernah memberitahu bahawa terdapat antara 30-40 peratus Melayu mengundi PN pada PRN Johor ke-15.

Disebabkan konflik PN, pengundi terbabit berubah angin dan memilih calon-calon BN hingga mendapat sehingga 48 kerusi.

PRN Johor adalah satu kerangka kerja untuk PRN di negeri lain dan Pilihan Raya Umum ke-16. Keputusan PRN Johor banyak mempengaruhi percaturan seterusnya.

Namun apa yang pasti, PRN Johor le-16 membangkitkan gelombang tsunami yang datang dari selatan- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast