Petugas memeriksa keputusan terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pusat Informasi Pakatan Harapan di Pulai, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 11 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Meskipun kehilangan empat kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini tetapi  DAP memperoleh 226,592 undi di 10 kerusi yang ditandingi berbanding 159,769 undi pada PRN Johor 2022.

Keputusan itu menunjukkan parti itu masih mempunyai asas sokongan yang kukuh yang kukuh untuk dipertahankan, diperluas dan diterjemahkan kepada kemenangan.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam satu kenyataan tetap mengakui peningkatan jumlah undi tidak menafikan kehilangan empat kerusi.

Kini, katanya, DAP hanya mempertahankan enam kerusi menerusi gandingan muka baharu di Penggaram, Mengkibol dan Skudai serta barisan berpengalaman di Bentayan, Senai dan Stulang.

Namun, katanya, DAP menghormati keputusan rakyat Johor dan akan melakukan penilaian menyeluruh terhadap aspek dasar, politik, organisasi serta komunikasi bagi memahami punca kemerosotan sokongan.

“DAP menerima tanggungjawab untuk memahami, menangani dan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.

“Setiap undi yang diterima ialah amanah, manakala setiap undi yang hilang merupakan petanda dan isyarat yang perlu diberi perhatian,” menurut kenyataan itu.

CEC berkata, parti itu kini mengalih sepenuh tumpuan untuk mempertahankan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dengan menampilkan lapan penyandang dan tiga muka baharu.

Menurut kenyataan itu, kempen di Negeri Sembilan akan memberi tumpuan kepada pencapaian kerajaan negeri, perancangan pembangunan, penyelesaian isu rakyat serta menawarkan calon yang mampu berkhidmat kepada masyarakat.

“DAP mahu rakyat membuat pilihan berdasarkan rekod pentadbiran, dasar dan masa depan Negeri Sembilan, bukannya politik perpecahan,” katanya.

Pada masa sama, parti itu menegaskan akan mengambil iktibar daripada keputusan di Johor dengan memperkukuh khidmat kepada rakyat, memperbaiki pendekatan komunikasi serta meningkatkan mutu pentadbiran.

“Johor telah memberi mesejnya. Kami akan belajar daripadanya. Di Negeri Sembilan, kami akan terus berjuang secara positif untuk mendapatkan mandat baharu dan meneruskan pentadbiran yang stabil, sederhana serta berkhidmat kepada semua,” menurut CEC dalam kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast