Lambang roket DAP

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini bukan sekadar menentukan siapa bakal membentuk kerajaan negeri. Lebih besar daripada itu, ia berpotensi menjadi medan yang menentukan sama ada DAP mampu bangkit daripada dua keputusan pilihan raya negeri yang mengecewakan atau terus berdepan kemerosotan sokongan dalam kalangan pengundi.

Sabah memberi isyarat awal. Johor pula mengukuhkan lagi mesej itu.

Pada PRN Johor minggu lalu, DAP kehilangan empat kerusi termasuk Perling kepada MIC serta Tangkak, Jementah dan Johor Jaya kepada MCA.

Kekalahan itu bukan sekadar menyaksikan pengurangan kerusi, malah mencetuskan persoalan sama ada pendekatan politik yang selama ini menjadi kekuatan DAP masih lagi berkesan dalam landskap politik semasa.

Ironinya, kerusi yang hilang itu dirampas oleh MCA dan MIC, dua parti komponen Barisan Nasional (BN) yang sejak sekian lama menjadi sasaran utama kritikan DAP dalam pelbagai siri ceramah dan kempen pilihan raya.

Selama bertahun-tahun, DAP berjaya membina sokongan rakyat menerusi naratif kegagalan pentadbiran BN. Isu seperti 1MDB, rasuah, ketirisan, salah guna kuasa dan rekod lebih 60 tahun pemerintahan BN menjadi antara tema utama yang berjaya mencetuskan gelombang perubahan pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2018.

Ketika itu, rakyat melihat DAP sebagai sebahagian daripada blok pembangkang yang menawarkan alternatif kepada kerajaan.

Namun, politik Malaysia hari ini jauh berbeza.

DAP kini merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan turut berada dalam pentadbiran beberapa negeri. Kedudukan itu secara tidak langsung mengubah jangkaan rakyat terhadap parti berkenaan.

Jika dahulu DAP menuntut kerajaan menjawab pelbagai isu, kini rakyat pula menuntut DAP menjelaskan sejauh mana penyertaannya dalam kerajaan berjaya membawa perubahan yang dijanjikan.

Dalam konteks itu, timbul persoalan sama ada naratif lama masih mampu memberi impak yang sama.

Sepanjang kempen PRN Johor, beberapa pemimpin DAP masih menjadikan isu 1MDB, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai antara fokus utama ceramah. Malah, terdapat kempen yang terus menggunakan imej Rosmah serta mengaitkan lawan dengan episod pentadbiran lalu.

Persoalannya, adakah strategi itu masih berkesan?

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara. Dalam keadaan itu, sebahagian pengundi mungkin lebih cenderung menilai prestasi kerajaan semasa berbanding terus dihidangkan dengan naratif yang sama seperti sedekad lalu.

Ini bukan bermaksud isu integriti dan tadbir urus tidak lagi penting. Sebaliknya, ia menimbulkan persoalan sama ada DAP masih terlalu bergantung kepada formula lama sedangkan rakyat hari ini lebih mahu mendengar penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan, perumahan, pendidikan dan ekonomi.

Begitu juga isu pengampunan diraja yang terus dijadikan modal politik oleh segelintir pemimpin DAP.

Hakikatnya, proses pengampunan diraja bukan sesuatu yang asing dalam sistem perundangan negara. Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah melalui proses tersebut dan ketika itu mendapat sokongan daripada DAP.

Oleh itu, menjadikan isu pengampunan sebagai modal politik secara berterusan berisiko menimbulkan persepsi tidak konsisten dalam kalangan sebahagian pengundi, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Apa yang lebih membimbangkan ialah jika masih wujud kecenderungan untuk terus menyalahkan pihak lawan atau mengulangi naratif lama tanpa melakukan penilaian terhadap kelemahan sendiri.

Dalam politik, antara kesilapan terbesar sesebuah parti ialah apabila terlalu yakin dengan kekuatan sendiri sehingga gagal membaca perubahan sentimen rakyat.

Sejarah politik Malaysia membuktikan tiada parti yang kebal daripada penolakan pengundi.

BN sendiri pernah mengalami kejatuhan bersejarah pada 2018 selepas lebih enam dekad memerintah negara. Ketika itu, rakyat menghukum kerajaan berdasarkan prestasi dan tuntutan terhadap perubahan.

Hari ini, keadaan yang sama boleh berlaku kepada mana-mana parti yang berada dalam kerajaan sekiranya gagal memenuhi harapan rakyat.

Atas sebab itu, dua keputusan PRN yang mengecewakan seharusnya menjadi ruang muhasabah buat DAP, bukannya dianggap sebagai faktor terpencil atau sekadar kelemahan jentera pilihan raya.

Parti itu perlu menilai semula pendekatan komunikasinya, mesej yang dibawa kepada rakyat serta sama ada isu-isu yang diketengahkan masih benar-benar menyentuh denyut nadi pengundi.

Negeri Sembilan pula mempunyai nilai simbolik yang cukup besar.

Selain menjadi antara negeri yang dianggap kubu kuat Pakatan Harapan (PH), ia juga sinonim dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke. Sebelum ini beliau menyatakan PH mempunyai kelebihan untuk mempertahankan negeri berkenaan.

Anthony Loke

Namun dalam politik, keyakinan tidak boleh bertukar menjadi sikap terlalu selesa.

Jika Johor mengajar bahawa kubu yang dianggap selamat juga boleh berubah, Negeri Sembilan sepatutnya menjadi peringatan supaya tiada ruang untuk terlalu yakin atau memandang ringan perubahan sentimen rakyat.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming turut berpandangan kemenangan BN di Negeri Sembilan boleh membawa implikasi lebih besar kepada landskap politik negara.

Menurut beliau, senario itu bukan sahaja akan meningkatkan tekanan terhadap DAP untuk menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan, malah berpotensi memberi ruang kepada parti-parti lain dalam kerajaan untuk berhujah landskap politik telah berubah sehingga membuka perbincangan mengenai kestabilan kerajaan Persekutuan.

Tidak lupa amaran dikeluarkan oleh mantan Ahli Parlimen Klang yang juga seorang pemimpin DAP, Charles Santiago yang awal-awal memberi amaran sebelum kemenangan besar MIC bahawa rata-rata masyarakat India kecewa serta sudah tidak sehaluan dengan kerajaan PH lagi.

Sama ada pandangan itu menjadi kenyataan atau tidak bergantung sepenuhnya kepada keputusan pengundi pada 1 Ogos nanti.

Namun satu perkara sukar dinafikan.

Selepas Sabah dan Johor, PRN Negeri Sembilan bukan lagi sekadar pilihan raya negeri biasa.

Ia bakal menjadi ukuran sama ada DAP benar-benar mengambil iktibar daripada dua keputusan yang mengecewakan atau terus bergantung kepada formula politik yang pernah membawa kejayaan pada 2008 dan 2018, tetapi mungkin tidak lagi memberi kesan yang sama kepada pengundi hari ini.

Dalam politik, kemenangan semalam tidak menjamin kemenangan esok. Parti yang gagal menyesuaikan diri dengan perubahan sentimen rakyat akhirnya akan berdepan hakikat bahawa pengundi sentiasa mempunyai pilihan.

Negeri Sembilan bakal menentukan sama ada DAP masih mampu meyakinkan rakyat bahawa ia adalah sebahagian daripada penyelesaian, atau semakin dilihat sebagai sebahagian daripada masalah yang sedang dinilai oleh pengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast