KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 bagi memperkukuh kerangka perlindungan terhadap saksi yang tampil membantu proses keadilan jenayah negara.
RUU berkenaan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini dengan memberi fokus kepada empat objektif utama termasuk memperluaskan akses kemasukan ke Program Perlindungan Saksi serta memperkukuh tadbir urus program berkenaan.
Azalina ketika membentangkan RUU itu berkata, keberanian saksi untuk tampil memberikan keterangan merupakan elemen penting dalam memastikan keberkesanan siasatan dan pendakwaan kes jenayah.
Menurut beliau, tanpa kerjasama saksi, banyak kes jenayah serius berdepan kesukaran untuk dibuktikan di mahkamah sekali gus boleh menjejaskan usaha menegakkan keadilan.
Katanya, keputusan seseorang individu untuk tampil sebagai saksi bukan sesuatu yang mudah kerana mereka mungkin berdepan risiko ancaman, ugutan, intimidasi serta tekanan psikologi terhadap diri sendiri dan keluarga.
“Perlindungan kepada saksi bukan sekadar suatu langkah kebajikan, tetapi merupakan komponen penting dalam memastikan integriti sistem keadilan jenayah negara terus terpelihara,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan.
Menerusi pindaan itu, kerajaan turut memberi perhatian terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan peserta program termasuk memperluaskan perlindungan kepada bekas peserta selepas program tamat
Beliau berkata, Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] yang mula berkuat kuasa pada 2010 telah menyediakan asas penting dalam melindungi saksi yang membantu pihak berkuasa dalam pelbagai kes jenayah serius.
Katanya, sepanjang lebih 15 tahun pelaksanaan akta itu, Program Perlindungan Saksi telah membantu saksi tampil memberi keterangan dalam kes termasuk pembunuhan, jenayah terancang, pengedaran dadah, penculikan, rasuah dan jenayah seksual.
Menurut Azalina lagi, data Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri menunjukkan penyertaan dalam Program Perlindungan Saksi meningkat daripada 34 peserta pada 2020 kepada 78 peserta pada 2022.
Bagaimanapun, pengalaman pelaksanaan program berkenaan menunjukkan terdapat beberapa aspek yang perlu diperkasakan supaya kekal relevan dengan cabaran semasa.
“Rang Undang-Undang yang dibentangkan hari ini tidak akan mengubah dasar asas Akta 696, sebaliknya memperkukuh kerangka perundangan sedia ada berdasarkan pengalaman pelaksanaan serta keperluan operasi semasa,” jelas Azalina lagi.
Tambah beliau, pindaan itu dibuat hasil penelitian serta libat urus bersama pelbagai pihak termasuk Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Perlindungan, agensi penguatkuasaan, badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, SUHAKAM serta pihak berkepentingan lain.
Antara penambahbaikan utama dicadangkan ialah membolehkan permohonan kemasukan ke Program Perlindungan Saksi dibuat bagi pihak saksi yang tidak mempunyai keupayaan di sisi undang-undang oleh ibu bapa atau penjaga.
Selain itu, bantuan psikologi termasuk kaunseling turut dimasukkan sebagai sebahagian bantuan yang boleh diberikan kepada peserta program.
Kerajaan juga mencadangkan pewujudan peruntukan baharu yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk mengeluarkan Perintah Tetap berkaitan pentadbiran serta pelaksanaan Program Perlindungan Saksi.
Beliau berkata, pindaan itu mencerminkan komitmen kerajaan bahawa negara akan melindungi mereka yang berani berkata benar dengan memastikan individu yang memberi keterangan atau kerjasama kepada pihak berkuasa mendapat perlindungan sewajarnya.
“Setiap individu yang tampil memberikan keterangan atau kerjasama kepada pihak berkuasa perlu mendapat perlindungan tanpa rasa takut, ancaman atau intimidasi,” katanya. – MalaysiaGazette
















