KUALA LUMPUR – Hasil semakan awal Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terhadap warganegara asing berhubung isu Network School di Forest City, Johor, mendapati kesemua 266 individu terbabit memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakarian Shaaban berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut terhadap sebarang perkara yang meragukan atau sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen atau pelanggaran syarat pas yang dikeluarkan.
Ini bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan serta peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan undang-undang berkaitan.
“JIM telah melaksanakan naziran terhadap sebuah komuniti antarabangsa di Forest City, Johor pada 14 Julai 2026, melibatkan pemeriksaan ke atas 266 warganegara asing dari 40 buah negara.
“Naziran tersebut dilaksanakan bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Katanya, setiap kemasukan warganegara asing ke Malaysia adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
Pemeriksaan di pintu masuk negara dilaksanakan berdasarkan dokumen perjalanan yang dikemukakan, semakan terhadap pangkalan data berkaitan serta rekod penguatkuasaan yang tersedia pada ketika pemeriksaan dijalankan.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen atau penyalahgunaan kemudahan imigresen.
“Mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya lagi.
Menurut beliau, JIM akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh, profesional dan berlandaskan undang-undang demi memelihara keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara. -MalaysiaGazette
















