JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan perlu memberi penjelasan isu Network School di Forest City, Iskandar Puteri yang dikatakan membawa doktrin berbahaya dan mencetuskan kebimbangan rakyat terutama terhadap kedaulatan tanah air dan keselamatan negara.
Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hafiz Ariffin berkata, perkara itu merupakan satu risiko serta ancaman kepada Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Digital digesa memberikan penjelasan.
Tegasnya, KDN dan Kementerian Digital perlu segera menjawab tiga persoalan utama bagi merungkai keresahan yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung operasi entiti berkenaan.
“KDN dan Kementerian Digital perlu menjawab soal benarkah terdapat warga Israel yang menetap di Forest City? Bagaimana kita menyaring mereka yang mempunyai pasport negara kedua dan masuk melalui Singapura?
“Keduanya, apakah status operasi ‘Network School’ di Malaysia dan yang ketiga, mereka masuk menggunakan pas pelancong atau pas khas? Adakah pihak ketiga menjadi ‘enabler’,” katanya menerusi satu hantaran video, hari ini.
Beliau berkata, rakyat Johor berhak mendapatkan penjelasan tentang apakah sebenarnya pertimbangan Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang sebelum ini dilihat menyokong inisiatif berkenaan serta pertimbangan Kerajaan Persekutuan.
“Kedaulatan negara kita ini tak boleh kita kompromi. ‘Dua diligence’ mesti dibuat sebelum dengan mudah mengeluarkan atau menyatakan sokongan. Sebab itulah keresahan rakyat Johor ini ada asasnya.
“Ini bukan soal pelaburan semata-mata, ini adalah soal keselamatan negara dan kedaulatan tanah air.
“Tanah Johor tak boleh dijadikan tapak percubaan kepada pemikiran yang menyerupai ‘Tech Zionism’ atau pembentukan enklaf yang mempunyai sistem kepentingan sendiri,” katanya.
Mohd Hafiz turut berkongsi bahawa Bloomberg dan The Edge ada melaporkan berlaku pertemuan antara Pengasas ‘Network School’, Balaji Srinivasan dengan Gobind.
“Beliau cadangkan supaya Malaysia wujudkan laluan Visa khas supaya penghuni ‘Network School’ ini boleh tinggal lebih lama dekat negara ini.
“Pada April lalu, Gobind dilaporkan ada melawat ‘Network School’ dan memuat naik hantaran dalam platform X dengan menyatakan sokongan kepada inisiatif berkenaan.
“Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga sudah keluarkan kenyataan bahawa kerajaan negeri akan bertindak dan beliau menggesa agensi pusat untuk melakukan hal yang sama,” katanya.
‘Network School’ diasaskan oleh Balaji yang membawa entiti dipanggil ‘Network State’ yang mana konsepnya adalah dengan membina komuniti secara dalam talian sebelum mereka yang berminat dikumpulkan di satu lokasi fizikal.
Mereka mempunyai akses tanah atau infrastruktur sebelum akhirnya bercita-cita untuk mendapatkan pengiktirafan seperti sebuah negara.
Lebih kontroversi dan bahaya apabila Balaji menggunakan istilah ‘Tech Zionism’ bagi menggambarkan pendekatan ‘Network School’ yang mana beliau menggunakan penubuhan Israel sebagai contoh bagaimana sebuah komuniti akhirnya memperoleh pengiktirafan diplomatik.
Mohd Hafiz berkata, perkara itu sangat bahaya dan tidak boleh diterima dengan sewenang-wenangnya.
“Lebih membimbangkan timbul pula dakwaan warga Israel menyertai program ini dengan menggunakan pasport negara yang kedua,” katanya. – MalaysiaGazette
















