Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Barisan Nasional di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Foto SADIQ SANI, 15 JULAI 2026.

SEREMBAN – Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak terlalu memikirkan soal calon menteri besar sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya untuk memastikan kemenangan parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang perlu dipilih oleh rakyat ialah calon BN yang membawa perjuangan parti, bukannya individu semata-mata.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang diputuskan pucuk pimpinan sebagai calon menteri besar perlu diberikan sokongan penuh demi memastikan BN mampu membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Tugas kita ialah memastikan BN memperoleh kemenangan dan membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan.

“Jangan terlalu sibuk memikirkan siapa calon menteri besar. Apa yang kita pilih ialah calon BN yang akan membawa kemenangan kepada gabungan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN Negeri Sembilan di luar pekarangan Stadium Paroi, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid juga berkata, kemenangan hanya akan dapat dicapai sekiranya seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan tanpa dipengaruhi perbezaan pendapat atau kepentingan individu.

“Pilihan raya lalu, BN memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun yakin jumlah itu mampu ditingkatkan sekiranya seluruh jentera bekerja lebih keras,” katanya.

Presiden UMNO itu juga menegaskan, semua  ahli parti perlu terus turun padang, menyantuni pengundi dan memperkukuhkan gerak kerja sehingga hari pengundian.

“Perpaduan dalam parti merupakan faktor paling penting bagi memastikan BN kembali mendapat mandat mentadbir Negeri Sembilan.

“Semua ahli diseru memperbanyak doa, memperkukuh ukhwah serta meneruskan usaha tanpa mengenal penat demi memastikan “gelombang biru” kembali melanda Negeri Sembilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast