HAMPIR lima bulan selepas konflik di Asia Barat mengganggu aliran tenaga dan perdagangan dunia, Malaysia setakat ini berjaya mengelakkan kesan paling buruk daripada Krisis Bekalan Global.
Namun, tiada negara yang benar-benar “kebal” daripada gangguan rantaian bekalan dunia.
Perang membabitkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat yang bermula pada 28 Februari lalu, disusuli penutupan Selat Hormuz pada 4 Mac, menjejaskan salah satu laluan tenaga dan perdagangan terpenting dunia.
Kesannya tidak terhenti pada harga minyak.
Apabila aliran tenaga dan perkapalan terganggu, kos kapal, insurans, baja, makanan ternakan, bahan kimia, plastik pembungkusan dan penghantaran turut terjejas. Tekanan itu kemudiannya bergerak melalui ladang, kilang dan gudang sebelum sampai kepada pengguna.
Beras, misalnya, mungkin masih mencukupi. Namun, beras itu tetap perlu dibungkus, disimpan, dihantar dengan lori dan diedarkan ke kedai. Jika bekalan plastik pembungkusan, diesel atau ruang gudang terganggu, barang yang tersedia sekalipun boleh menjadi lebih mahal atau mengambil masa lebih lama untuk sampai ke rak pasar raya.
Malaysia mempunyai beberapa lapisan penampan, termasuk subsidi bahan api, pemantauan stok, penyelarasan logistik serta usaha mendapatkan sumber tenaga alternatif.
Langkah-langkah itu tidak menghapuskan tekanan global, tetapi membantu memperlahankan kadar dan mengurangkan skala kesannya terhadap isi rumah serta perniagaan.
Subsidi menyerap kejutan awal
Kesan penampan itu paling jelas pada harga bahan api.
Sebelum krisis, kerajaan membelanjakan kira-kira RM700 juta sebulan bagi subsidi diesel dan petrol RON95. Pada kemuncak krisis pada April 2026, jumlah itu melonjak kepada RM4.9 bilion sebulan.
Dalam tempoh sama, harga pasaran RON95 mencanak kepada RM4.90 seliter dan kekal melebihi RM4 untuk sebahagian besar krisis.
Namun, rakyat yang layak terus membayar RM1.99 seliter di bawah BUDI95, harga yang tidak berubah sejak September tahun lalu.
Perbezaan itu tidak bermaksud Malaysia “kalis” daripada pergerakan harga minyak global. Negara ini masih mengimport sekitar separuh daripada keperluan produk petroleumnya, namun sebahagian besar kenaikan kos bahan api diserap kerajaan melalui subsidi sebelum diterjemahkan kepada harga runcit.

Menurut Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, mekanisme subsidi dan harga terkawal seperti BUDI95 serta subsidi diesel bertindak sebagai penebat kepada pengguna.
“Walaupun harga petrol RON95 naik sehingga RM4.90 seliter pada April 2026, rakyat masih membayar RM1.99. Langkah ini menghalang kejutan kos langsung kepada pengguna.
“Negara-negara lain tidak mampu menampung perbezaan harga melebihi RM2 seliter,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Beliau berkata komunikasi awal kerajaan yang mengakui bahawa krisis itu bukan kejutan jangka pendek, serta memerlukan pengurusan impak bagi tempoh lebih panjang, membantu mengurangkan ketidaktentuan dalam kalangan pengguna dan industri.
Menurutnya, jaminan bahawa bekalan masih mencukupi turut membantu mengurangkan risiko pembelian panik yang boleh memburukkan keadaan dan mendorong kenaikan harga tidak munasabah.
Namun, komunikasi sahaja tidak mencukupi tanpa langkah sokongan seperti pemantauan bekalan barang keperluan, penyelarasan logistik, pengurusan stok strategik, subsidi bersasar dan kerjasama dengan sektor swasta.
Kerajaan turut menubuhkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), yang dipengerusikan Tan Sri Hassan Marican.
Pasukan itu berperanan menyelaras pemantauan bekalan, mengenal pasti risiko kepada sektor kritikal dan mempercepat tindakan antara kementerian, agensi serta industri.
Usaha mempelbagaikan sumber bekalan produk petroleum turut diperkukuh. Pada Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Rusia dan memperoleh komitmen Moscow untuk membekalkan petrol, minyak dan gas kepada Malaysia.
Ekonomi terus berkembang
Setakat ini, ketahanan tersebut turut dapat dilihat pada prestasi ekonomi negara.
Ekonomi Malaysia berkembang 5.4% pada suku pertama 2026, mengatasi anggaran awal 5.3% dan lebih tinggi berbanding pertumbuhan 5.2% bagi keseluruhan 2025.
Inflasi pula berada pada 1.6% dalam tempoh sama.
Angka itu menunjukkan ekonomi negara terus berkembang walaupun berdepan ketidaktentuan tenaga dan perdagangan global.
Namun, prestasi makro yang baik tidak bermakna semua sektor menerima kesan yang sama.
Perniagaan yang bergantung kepada bahan mentah import, tenaga, penghantaran jarak jauh dan margin keuntungan yang kecil kekal lebih terdedah.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata usaha kerajaan memastikan bekalan bahan api domestik mencukupi serta mengekalkan kelancaran rantaian logistik di pelabuhan utama membantu melindungi perusahaan kecil dan sederhana daripada gangguan yang lebih besar.
Menurut beliau, penstrukturan subsidi bersasar dan penguatkuasaan kawalan harga antipencatutan turut membantu mengekalkan inflasi domestik pada kadar yang rendah.
“Selepas lima bulan krisis ini berlangsung, kita dapat melihat bahawa impak yang diterima oleh industri tempatan adalah jauh lebih ringan daripada jangkaan awal yang terburuk.
“Walaupun harga minyak Brent meningkat sekitar 27 peratus sepanjang tahun ini dengan mencatatkan purata sekitar AS$93 setong, ekonomi Malaysia tetap memamerkan daya saing yang utuh dengan mencatatkan pertumbuhan KDNK yang kukuh sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026.
“Ditambah pula dengan perkembangan positif pembukaan semula Selat Hormuz baru-baru ini, banyak kebimbangan logistik global telah berjaya diredakan,” katanya ketika dihubungi.
Di beberapa negara serantau, gangguan tenaga menyebabkan kekurangan petrol dan diesel serta langkah penjimatan kecemasan.
Malaysia pula terus mengekalkan bekalan bahan api runcit, dengan harga petrol dan diesel domestik antara yang terendah di dunia.
Perbandingan itu bukan bermaksud Malaysia kebal. Ia menunjukkan bahawa subsidi, bekalan sedia ada, penyelarasan dan sumber alternatif telah memberi negara lebih banyak ruang untuk bertindak.
Tekanan boleh sampai kepada barang harian
Kesan krisis bekalan lazimnya tidak muncul serentak.
Harga minyak dan kos perkapalan boleh meningkat lebih awal, manakala kesannya terhadap baja, makanan ternakan, plastik, barangan kilang dan harga runcit mengambil masa untuk bergerak melalui rantaian bekalan.
Kos yang lebih tinggi juga tidak semestinya diterjemahkan kepada kenaikan harga bagi semua barangan.
Harga makanan, misalnya, turut dipengaruhi cuaca, musim, kadar pertukaran, keadaan bekalan tempatan dan tindakan peniaga.

Pensyarah Kanan Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr Noor Aslinda Abu Seman berkata rakyat, khususnya golongan M40 dan mereka yang menerima subsidi lebih kecil, tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada tindakan kerajaan.
Menurut beliau, isi rumah perlu menyesuaikan tabiat perbelanjaan mengikut kitaran harga dan bukan bertindak berdasarkan tekanan emosi, kerana pembelian panik lazimnya menyebabkan pengguna membayar lebih mahal dalam jangka panjang.
Beliau turut menyarankan isi rumah merancang belanjawan berasaskan kemungkinan harga kekal tinggi bagi tempoh enam hingga 12 bulan supaya tidak terkejut sekiranya keadaan berlarutan.
“Pengguna boleh beralih kepada barangan tempatan atau pengganti apabila harga import melonjak.
“Selain itu, perkongsian sumber di peringkat komuniti seperti pembelian berkumpulan, perkongsian kenderaan atau maklumat harga dalam kalangan jiran dan keluarga besar boleh mengurangkan kos unit,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa sama, pengguna tidak seharusnya menganggap semua kenaikan harga berpunca daripada krisis global.
Kenaikan yang tidak munasabah atau tindakan pencatutan tetap memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan.
Penampan membeli masa
Malaysia tidak mampu mengawal konflik, harga minyak dunia atau keputusan syarikat perkapalan dan insurans antarabangsa.
Namun, negara masih boleh menentukan sejauh mana kejutan itu sampai kepada rakyat dan industri.
Subsidi bahan api, pemantauan bekalan, sumber alternatif dan penyelarasan antara kerajaan serta industri telah membantu Malaysia menyerap kesan awal krisis.
Tetapi perlindungan itu datang dengan kos fiskal yang tinggi dan tidak boleh dianggap sebagai jaminan mutlak.
Kenaikan perbelanjaan subsidi diesel dan RON95 daripada RM700 juta kepada setinggi RM4.9 bilion sebulan menunjukkan betapa besar tekanan yang sedang ditanggung negara.
Dalam erti kata lain, penampan Malaysia berfungsi. Tetapi ia membeli masa, bukan menghapuskan risiko.

Selagi ketidaktentuan di Asia Barat berterusan, kerajaan perlu terus memperkukuh bekalan, industri perlu merancang kos dan sumber alternatif, manakala pengguna perlu mengelakkan pembelian panik serta membuat keputusan perbelanjaan dengan lebih berhemah.
Malaysia mempunyai penampan yang “tebal”. Namun, kejutan seterusnya tetap perlu dihadapi dengan mata terbuka. – MalaysiaGazette
















