Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bergambar bersama calon-calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Barisan Nasional di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Foto SADIQ SANI, 15 JULAI 2026.

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) menawarkan kestabilan politik dan pentadbiran yang mampu menyelesaikan masalah rakyat sekiranya diberikan mandat semula mentadbir Negeri Sembilan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat kini tidak lagi mahu melihat politik berpanjangan sebaliknya mengharapkan sebuah kerajaan yang bekerja serta mampu memberikan penyelesaian terhadap isu harian mereka.

“Keutamaan kerajaan ialah menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda, meningkatkan peluang ekonomi kepada peniaga kecil, memperbaiki infrastruktur luar bandar serta memastikan kemudahan asas seperti bekalan air dan jalan raya berada pada tahap terbaik.

“BN datang bukan untuk menambah krisis, tetapi untuk menyelesaikan krisis.

“Kita datang bukan untuk memecah-belahkan rakyat, sebaliknya memulihkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN Negeri Sembilan di Stadium Paroi, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid berkata, Negeri Sembilan mempunyai potensi besar dalam sektor perindustrian, logistik, pendidikan, pelancongan dan ekonomi yang mampu diperkasakan sekiranya negeri itu menikmati kestabilan politik.

“Negeri Sembilan mampu bergerak lebih pantas serta berdiri sebaris dengan negeri-negeri yang mencatat pertumbuhan ekonomi lebih tinggi sekiranya BN diberi mandat membentuk kerajaan,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan BN akan terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan, menghormati institusi Raja-Raja Melayu serta mempertahankan Adat Perpatih yang menjadi identiti Negeri Sembilan.

“Penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Besar dan Undang Luak perlu terus dipelihara oleh semua pihak sebagai asas kestabilan serta keharmonian negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast