Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA – Pengalaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi antara faktor utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk menggunakan simbol sendiri pada PRN Negeri Sembilan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas parti mengambil kira maklum balas ahli serta pengundi yang mendakwa berlaku kekeliruan terhadap pendirian Bersatu ketika menggunakan simbol Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan ada pengundi menyalahkan Bersatu terhadap beberapa keputusan yang sebenarnya bukan dibuat oleh parti berkenaan.

“Kita mengambil kira pengalaman di Johor. Berlaku kekeliruan di peringkat akar umbi sehingga ada yang marah kepada Bersatu walaupun keputusan tertentu bukan datang daripada kita.

“Jadi kita fikir lebih baik pengundi dapat mengenali calon Bersatu dengan jelas melalui simbol parti sendiri di atas kertas undi,” katanya pada sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di sini, malam ini.

Muhyiddin berkata, penggunaan simbol sendiri juga memudahkan pengundi membezakan calon Bersatu daripada parti-parti lain dalam gabungan PN.

Beliau berkata, keputusan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Bersatu sebagai parti komponen PN kerana parti itu kekal berada dalam gabungan berkenaan.

Menurutnya, sebarang keputusan mengenai hala tuju Bersatu dalam PN hanya akan dibuat selepas PRN Negeri Sembilan selesai.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, Bersatu akan mengumumkan senarai calon yang bertanding pada Jumaat selepas semua keputusan dalaman dimuktamadkan.

Beliau turut memaklumkan beberapa parti politik telah menyatakan minat untuk menggunakan simbol Bersatu pada PRN Negeri Sembilan, namun mereka perlu mengemukakan permohonan rasmi terlebih dahulu sebelum dipertimbangkan.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, Bersatu akan mempergiat usaha memperkenalkan simbol parti menerusi kempen di lapangan, poster dan media sosial bagi memastikan pengundi lebih mudah mengenali calon-calon yang ditampilkan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.