KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan berstatus muflis, Sofia Rini Buyong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memfitnah ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menerusi satu rakaman video, April lalu.
Wanita berusia 50 tahun itu didakwa menfitnah bekas setiausaha politik Perdana Menteri menerusi rakaman video pukul 6.30 petang, 26 April lalu di sekitar ibu negara dengan mempercayai tohmahan itu boleh merosakkan nama baik mangsa.
Menurut pertuduhan, Sofia Rini didakwa menuturkan kata-kata `Farhash Wafa Salvador kini seorang warganegara Turkiye dan telah mencuri duit dan menghantar ke luar negara seperti Turkiye dan Afrika.’
Wanita tersebut didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, peguam Shugan Raman mewakili tertuduh memohon jaminan RM500 kerana anak guamnya mempunyai penyakit darah tinggi dan diabetes.
“Tertuduh yang tinggal bersama ibu sejak suaminya meninggal dunia tahun lalu turut menanggung seorang anak lelaki. Tertuduh juga telah bankrap dan kini tiada pekerjaan tetap,” ujarnya.
Shugan berkata, tertuduh di bawah jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jaminan RM10,000 telah dibayar kepada agensi itu.
“Jadi kesemua wangnya telah disekat di situ. Jumlah jaminan RM15,000 yang dicadangkan pihak pendakwaan di luar kemampuan kewangannya,” kata Shugan.
Mohamad Fadhly kemudian menegaskan jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah munasabah berdasarkan pertuduhan dan sekiranya jumlah jaminan terlalu rendah, risiko tertuduh melarikan diri adalah lebih tinggi.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan kes.
Pada 6 Mei lalu, media melaporkan, Farhash membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah berbilion ringgit di luar negara serta mengaitkannya sebagai warganegara Türkiye.
Beliau menafikan kini berstatus rakyat Türkiye atau mempunyai akaun bank di negara berkenaan sambil menyifatkan tindakan individu tertentu hanya bertujuan meraih kepentingan politik. – MalaysiaGazette
















