Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memperhebatkan siasatan kewujudan amalan `kaunter setting’ di pintu masuk antarabangsa negara.

Menyifatkannya semakin serius, Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, sindiket itu terus membuka ruang kepada kemasukan warga asing melalui pengaturan dengan pihak tertentu.

Dakwanya, MCW menerima maklumat daripada sumber dalaman penguatkuasaan yang selama ini memberikan maklumat yang konsisten dan mempunyai pengetahuan mengenai situasi di lapangan.

Kata beliau, dakwaan yang dikemukakan itu amat serius dan tidak boleh sekadar dipandang sebagai khabar angin, sebaliknya perlu disahkan atau disangkal melalui siasatan profesional.

Sehubungan itu, ujarnya, MCW mempersoalkan keberkesanan operasi besar-besaran memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) jika kebocoran di pintu masuk negara sendiri tidak ditangani sehingga ke akar umbi.

“Jangan hanya tangkap PATI yang sudah bolos. Siasat siapa yang memboloskan mereka.

“Jika warga asing boleh masuk sebagai `pelancong’ tetapi kemudiannya tinggal dan bekerja secara tidak sah, pihak berkuasa perlu meneliti keseluruhan rantaian kemasukan mereka.

“Adakah pemeriksaan dilakukan dengan betul? Adakah wujud ejen atau sindiket? Adakah terdapat pegawai yang bersekongkol atau menerima suapan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, tambahnya, MCW menggesa SPRM menjalankan audit forensik berasaskan data dengan memadankan rekod kemasukan warga asing, kaunter yang digunakan, pegawai bertugas, masa kelulusan, rakaman CCTV dan corak perjalanan.

Tegasnya, sebarang pola luar biasa yang berulang perlu menjadi ‘red flag’ untuk siasatan lanjut.

Ujar beliau, pegawai berintegriti yang mempunyai maklumat dalaman juga mesti diberikan saluran selamat untuk tampil.

“Jika maklumat mengenai kemungkinan rasuah telah pernah disalurkan kepada pihak berkuasa tetapi tidak mendapat tindakan sewajarnya, MCW mahu penjelasan adakah ia telah disiasat, apakah hasilnya, dan jika tidak, mengapa?” katanya.

Jelasnya, MCW tidak menuduh keseluruhan warga imigresen, sebaliknya, tindakan tegas terhadap segelintir pengkhianat amanah adalah penting untuk melindungi majoriti pegawai yang jujur.

“Hentikan budaya menangkap di hilir tetapi membiarkan kebocoran di hulu. Jika rasuah membuka pintu masuk negara, maka rasuah itulah yang mesti ditutup terlebih dahulu,” katanya.

Tambahnya, MCW menegaskan bahawa rasuah di pintu masuk negara bukan sekadar salah laku individu, tetapi merupakan pengkhianatan terhadap amanah keselamatan dan kedaulatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast