KUALA LUMPUR – Gaya berkempen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih terbawa-bawa dengan imej ‘Ketua Pembangkang’ dilihat menjadi antara faktor yang kurang disenangi segelintir pengundi, khususnya di Johor.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, tempoh panjang selama 24 tahun berada di blok pembangkang iaitu sejak dipecat pada tahun 1998 sehingga dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2022 menyebabkan naratif dan kaedah penyampaian beliau cenderung bersifat menyerang.

“Naluri seorang ‘pejuang’ itu adakalanya sukar dibendung apabila Anwar melihat kehadiran khalayak yang ramai di atas pentas ceramah.

“Bila naik pentas dan nampak crowd ramai, mood dia lain dah, dia dah biasa sebagai pejuang. Kadang-kadang beliau terbawa-bawa dan orang tegur ‘PMX ini Perdana Menteri, bukan Ketua Pembangkang.’

“Namun walau apa pun, apa yang diucapkan adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa beliau bersungguh-sungguh dalam bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program bual bicara Skop MG bertajuk ‘PRN Negeri Sembilan: Pertahan Kubu Atau Tukar Kerajaan?’ terbitan MalaysiaGazette.

Turut serta sebagai panel ialah penganalisis Sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi.

Ketika ditanya mengenai kritikan segelintir pihak yang mendakwa tiada pembaharuan atau ‘reformasi’ ketara di bawah pentadbiran semasa, Azman berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai majoriti mudah untuk bertindak sendirian.

“Kita kena ingat PH tidak ada majoriti mudah, yang ada hanya 82 kerusi di Parlimen.

“Kita berada dalam Kerajaan Perpaduan, bermakna setiap keputusan perlu berbincang dan bertolak ansur dengan gabungan lain seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” jelasnya.

Dalam pada itu, Azman turut berkongsi perbezaan dinamika politik antara Johor dan Negeri Sembilan yang mana PH menghadapi cabaran berbeza dalam mendekati pengundi.

“Di Johor,  PH masih berdepan kesukaran kerana bertindak sebagai pembangkang di peringkat negeri selain berdepan dengan kekangan jentera pentadbiran tempatan dan berlawan dengan Kerajaan Negeri.

“Mereka menggunakan Close Service (Pegawai Tadbir Negeri – PTN, bukan PTD Persekutuan).

“Akibatnya, banyak dewan dan fasiliti kerajaan disekat untuk kegunaan kita.

“Namun di Negeri Sembilan, situasinya adalah ‘padang yang sama rata’ (open floor) kerana kita adalah sebahagian daripada kerajaan negeri. Kita sudah mentadbir dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, cabaran kini beralih kepada pihak lawan untuk membuktikan apa tawaran alternatif yang lebih baik berbanding rekod prestasi cemerlang yang telah ditunjukkan oleh PH.

“Saya menyeru semua jentera parti agar terus agresif menerangkan kepada rakyat tentang kepentingan mengekalkan pentadbiran sedia ada.

“Ini demi kestabilan dan kemakmuran berterusan di Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast