KUALA LUMPUR – Konflik dalaman parti Bersatu yang berlarutan sehingga menjejaskan imej Perikatan Nasional (PN) memaksa Pas untuk mengambil langkah proaktif demi menyelamatkan kedudukan politik Melayu Islam.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, Pas tidak boleh hanya berpeluk tubuh melihat bilangan kerusi gabungan itu merosot di Parlimen akibat kemelut parti sekutunya itu sebelum ini.
“Jika dikira secara mudah, konflik tersebut menyebabkan Bersatu akhirnya hanya tinggal enam kerusi Parlimen sahaja. Daripada keseluruhan 74 kerusi yang kita kuasai, jumlah itu kurang menjadi 69 kerusi malah, kalau ikutkan kekuatan solid PN sebelum Parti Wawasan Negara menyertai gabungan ini, kita sebenarnya hanya tinggal 51 kerusi sahaja.
“Penurunan daripada 74 ke 51 kerusi itu memberikan kesan yang sangat besar.
“Ia mengganggu perbincangan-perbincangan dalaman, apa yang kita nak bentangkan dan apa yang kita nak sokong di Parlimen, pendek kata ia memang mengganggu,” katanya.

Beliau berkata menerusi program Skop MG dengan tajuk ‘Dari Johor ke Negeri Sembilan: Membaca Isyarat Pengundi’ bersama seorang lagi panel iaitu Felo Majlis Profesor Negara, Dr Azmi Hassan.
Khairul Nadzir berkata, tindakan Pas yang dilihat kerap bertukar rakan sekutu kerana parti itu perlu bergerak ke hadapan bersama kumpulan yang lebih stabil.
“Kemunculan Parti Wawasan Negara yang kini bergerak secara rasmi sebagai sebuah parti politik dilihat sebagai peluang terbaik untuk memperkukuhkan semula gabungan.
“Takkanlah Pas nak terus duduk diam dengan konflik walaupun ia melibatkan isu dalaman parti lain. Jadi, kita kena move on kepada satu gagasan atau satu kumpulan yang lebih utuh.
“Sebab itu apabila Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang melihat Parti Wawasan Negara dah mula bergerak secara rasmi dan tidak lagi tergantung tanpa ‘rumah’ sendiri, kita perlukan mereka untuk masuk semula,” katanya.
Tambahnya, pada ketika ada pihak yang masih gagal menyelesaikan konflik dalaman masing-masing, PN bernasib baik kerana terus mendapat sokongan daripada parti komponen lain seperti Gerakan dan MIPP.
“Tindakan pantas yang diambil oleh kepimpinan tertinggi Pas ketika ini adalah bagi merealisasikan usul yang pernah dibawa oleh sayap Pemuda sebelum ini.
“Saya sendiri sebelum ini pernah memberikan usul pada Muktamar Pas agar kita mengetuai kepimpinan PN.
“Apa yang disuarakan, kami cuba terjemahkan dalam bentuk Tindakan dan saya nampak tindakan yang dibuat ini sangat terhadapan, yang digerakkan sendiri oleh Presiden parti.
“Tok Guru Haji Hadi melihat kita sudah tidak ada masa lagi.
“Ini semua soal masa dan penjenamaan (branding) kita kerana semakin lama, ia semakin menurun jika dibiarkan. Kita kena buat sesuatu,” ujarnya.
Mengulas mengenai strategi di Johor dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Khairul Nadzir mengakui Pas sedar akan kelemahan tersendiri, namun strategi yang diatur adalah untuk membina satu ketumbukan yang kuat. – MalaysiaGazette
















