Tangkap layar pasangan tunang ditahan polis selepas terlibat curi makanan di lobi residensi di Kajang.

KUALA LUMPUR – Padah mencuri makanan yang dihantar di lobi sebuah residensi di Kajang, seorang lelaki bersama  tunangnya antara tiga individu ditahan selepas ia tular menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada penyelia keselamatan kediaman terbabit pukul 2.27 pagi kelmarin.

“Bertindak atas maklumat, dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an ditahan, serta merampas sehelai baju berlogo dengan tulisan PDRM (Polis Diraja Malaysia).

“Ketika tangkapan dibuat, tiada sebarang makanan dicuri oleh suspek namun rakaman CCTV mendapati adanya perlakuan tersebut pada beberapa tarikh yang berlainan.

“Hasil semakan mendapati, pasangan tunang itu memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, masing-masing sebanyak lapan dan enam rekod.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas pasangan tunang itu, didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah Naazron, permohonan tahanan reman terhadap pasangan tunang itu dibenarkan sehingga esok bagi membantu siasatan manakala seorang lagi suspek lelaki dibebaskan dengan jaminan polis.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 89(a) Akta Polis dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Amiruddin  Abdul di talian 0132304156 bagi membantu siasatan, jelasnya.

Terdahulu, tular rakaman CCTV di media sosial yang memaparkan tindakan beberapa individu dipercayai mencuri makanan yang dihantar di lobi sebuah residensi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast