Calon BERSATU bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, tiba bagi proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Majlis Bandaraya Seremban. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 JULAI 2026.

SEREMBAN – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencalonkan Datuk Tun Faisal Ismail dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berdasarkan keperluan mengetengahkan barisan calon berpengalaman bagi menawarkan pilihan baharu kepada rakyat Negeri Sembilan.

Tun Faisal berkata, meskipun memegang jawatan di peringkat pusat, beliau merupakan anak Negeri Sembilan dan sentiasa mengikuti perkembangan negeri itu.

“Memang saya tinggal di Negeri Sembilan. Apabila parti membuat persiapan menghadapi pilihan raya ini, kepimpinan melihat ada peluang untuk menawarkan barisan pimpinan yang kuat kepada rakyat.

“Kebetulan saya berada di Negeri Sembilan, jadi nama saya dimasukkan dalam senarai calon yang ditawarkan kepada pengundi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada penamaan calon PRN ke-16 Negeri Sembilan di sini hari ini.

Calon BERSATU bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, tiba bagi proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Majlis Bandaraya Seremban. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 JULAI 2026.

Mengulas peluangnya di DUN Sikamat, Tun Faisal berkata, kawasan itu memerlukan suntikan idea baharu memandangkan statusnya sebagai kawasan perbandaran lama yang berdepan pelbagai isu.

Menurutnya, masalah penyelenggaraan infrastruktur yang tidak diselesaikan secara menyeluruh menyebabkan perkembangan kawasan itu dilihat semakin perlahan.

“Sikamat merupakan kawasan perbandaran lama. Banyak isu penyelenggaraan dan pembangunan yang perlu diberi perhatian. Kawasan ini memerlukan idea baharu supaya ia menjadi lebih moden dan lebih pintar.

“Bila kawasan menjadi statik, peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda juga semakin terhad sebab itu kita mahu membawa pendekatan baharu yang mampu menjana ekonomi setempat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau mendakwa masih terdapat beberapa janji pembangunan yang belum ditunaikan oleh kerajaan negeri sekali gus berjanji akan memperjuangkan pelaksanaannya sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

Selain pembangunan, Tun Faisal berkata, isu keselamatan setempat termasuk kehadiran pendatang asing tanpa izin dan komuniti Rohingya turut menjadi antara kebimbangan penduduk yang perlu ditangani secara lebih berkesan.

“Kita perlu ada kaedah yang lebih baik untuk menguruskan isu ini supaya penduduk berasa lebih selamat dan tidak berasa terancam,” katanya.

Mengulas perkembangan politik semasa, Tun Faisal berpandangan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini tidak boleh dijadikan kayu ukur terhadap landskap politik di Negeri Sembilan kerana kedua-dua negeri mempunyai faktor yang berbeza.

Menurutnya, kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor dipengaruhi beberapa faktor termasuk kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selain faktor tempatan dan corak sokongan pengundi.

Sebaliknya, beliau mendakwa situasi di Negeri Sembilan berbeza apabila pengundi lebih cenderung menilai prestasi kerajaan negeri sedia ada termasuk pelaksanaan janji-janji yang dibuat sebelum ini.

“Saya rasa sentimen pengundi di Negeri Sembilan lebih melihat kepada hala tuju negeri selepas ini dan siapa yang mampu membawa perubahan.

“Sebab itu, Bersatu mengetengahkan barisan calon yang mempunyai pengalaman untuk menawarkan sesuatu yang baharu kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Tun Faisal berkata, selepas negeri itu pernah diperintah BN dan kemudiannya Pakatan Harapan, beliau berpendapat, sudah tiba masanya rakyat mempertimbangkan alternatif lain.

“BN sudah memerintah Negeri Sembilan, Pakatan Harapan pun sudah diberi peluang. Yang belum pernah memerintah ialah Bersatu.

“Kita mahu menawarkan pendekatan baharu dan pentadbiran yang lebih baik demi masa depan Negeri Sembilan,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Tun Faisal akan berdepan pertandingan tiga penjuru menentang penyandang daripada Pakatan Harapan (PKR), Nor Azman Mohamad serta calon Parti Wawasan Negara mewakili Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Abu Samah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.