JEMPOL – Pengalaman hampir dua dekad dalam politik menjadi sandaran calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivannan untuk menawarkan khidmat terbaik kepada penduduk di kawasan itu.

Bekas Ahli Parlimen Kapar yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR itu berkata, pencalonannya di Jeram Padang juga cukup istimewa.

Ia kerana kawasan berkenaan mempunyai nilai sentimental apabila menjadi tempat kelahiran ibunya selain lokasi beliau dibesarkan ketika kecil.

“DUN Jeram Padang ini sangat sentimental kepada saya kerana inilah tempat lahir ibu saya dan ketika saya kecil, di sinilah saya dibesarkan.

“Oleh sebab itu, walaupun saya mempunyai pengalaman luas dalam politik nasional, kali ini saya pulang ke kampung halaman untuk berbakti kepada masyarakat di DUN Jeram Padang,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol hari ini.

Manivannan (dua dari kanan) berdepan saingan empat penjuru dengan Mohd. Zaidy, (kiri) calon Perikatan Nasional (PN), R. Sri Sanjeevan  (kanan) dan calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Dayana Dal. – MalaysiaGazette

Mengulas fokus kempennya, Manivannan berkata, peluang pekerjaan, pendidikan dan infrastruktur merupakan antara isu utama yang sering dibangkitkan penduduk di kawasan itu.

Katanya, ketiga-tiga isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

“Salah satu isu yang menjadi perbualan dan permintaan masyarakat di DUN Jeram Padang ialah peluang pekerjaan, pendidikan dan isu-isu infrastruktur.

“Saya rasa ketiga-tiga isu ini adalah isu asas yang perlu diteliti oleh seorang ahli politik dan dengan pengalaman politik hampir 20 tahun, saya yakin dapat memberi ruang untuk berbakti kepada masyarakat di sini,” katanya.

Mengulas peluang berdepan penyandang Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir yang mempertahankan kerusi itu dengan majoriti tipis pada pilihan raya lalu, Manivannan berkata, pengundi kini lebih menilai keupayaan seseorang calon berbanding retorik politik.

“Peluang untuk rakyat memilih kali ini lebih terbuka kerana rakyat akan memilih seseorang yang benar-benar boleh berbakti kepada mereka, bukan lagi berdasarkan mainan atau naratif politik.

“Mereka mahukan wakil rakyat yang memahami struktur kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan serta mampu membawa manfaat daripada kedua-duanya kepada rakyat.

“Saya turun bertanding kerana saya yakin masih banyak masalah di sini dan saya juga yakin mampu membantu menyelesaikannya,” katanya.

Pada PRN kali ini, Manivannan berdepan saingan empat penjuru dengan Mohd. Zaidy, calon Perikatan Nasional (PN), R. Sri Sanjeevan dan calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Dayana Dal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast