Pemimpin dan penyokong PH bagi dun-dun Parlimen Kuala Pilah hadir penuh semangat iringi calon-calon bertanding pagi ini.

KUALA PILAH – Suasana di pusat penamaan calon bagi lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuala Pilah berlangsung meriah apabila penyokong Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Bersatu membanjiri pekarangan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Daerah Kuala Pilah seawal pagi sempena proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Kira-kira 500 penyokong PH dilihat antara yang terawal memenuhi kawasan pusat penamaan calon bagi mengiringi calon-calon Keadilan di DUN Juasseh (N15), Seri Menanti (N16) dan Pilah (N18).

Laungan slogan parti ‘Reformasi’ ‘Lawan Sampai Menang’ selain kibaran bendera serta sorakan penyokong mewarnai suasana ketika ketibaan calon.

Turut mengiringi calon-calon PH ialah beberapa pemimpin bertaraf menteri dan timbalan menteri, antaranya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Taufiq Johari; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustafa Sakmud; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Zin serta Datuk Jamawi Jaafar.

Tumpuan PH di Parlimen Kuala Pilah terarah kepada calon-calon Keadilan iaitu Mohd Aidil Abdullah yang bertanding di DUN Juasseh, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa (Seri Menanti) dan Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (Pilah).

Proses penamaan calon bagi DUN Juasseh, Seri Menanti, Senaling (N17), Pilah dan Johol (N19) bermula sekitar pukul 9 pagi dan dijadual berakhir sejam kemudian sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding.

Dalam pada itu, penyokong Bersatu yang turut menggunakan tema warna merah berhimpun tidak jauh dari kawasan penyokong PH mencetuskan suasana menarik apabila kedua-dua kumpulan saling berbalas sorakan bagi menunjukkan kekuatan jentera masing-masing.

Walaupun kedua-dua pihak menggunakan warna parti yang hampir sama, keadaan kekal terkawal dengan kehadiran anggota polis yang mengawal lalu lintas serta pergerakan penyokong sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

Sementara itu, calon-calon BN bagi lima DUN di bawah Parlimen Kuala Pilah turut tiba bersama ratusan penyokong dengan diiringi paluan gendang yang menambahkan lagi kemeriahan suasana di pekarangan pusat penamaan calon.

PRN Negeri Sembilan diadakan selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 4 Jun lalu dengan hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos bagi memilih 36 wakil rakyat yang akan membentuk kerajaan negeri baharu.

Bagi Parlimen Kuala Pilah, PH mempertaruhkan Mohd Aidil Abdullah (Keadilan) di Juasseh, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa (Keadilan) di Seri Menanti, Mohd Hanis Mohd Alimin (Amanah) di Senaling, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (Keadilan) di Pilah serta Mohd Zailan Mohd Munawar (Amanah) di Johol.

BN pula meletakkan Datuk Ismail Lasim di Juasseh, Muhammad Sufian Maradzi (Seri Menanti), Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling), Suzlyana Mahayuddin (Pilah) dan Datuk Saiful Yazan Sulaiman (Johol).

PRN kali ini turut menyaksikan pertandingan yang unik apabila Bersatu memilih bertanding menggunakan logo parti sendiri susulan pertikaian dengan kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Di Parlimen Kuala Pilah, Bersatu meletakkan calon di Juasseh, Seri Menanti dan Senaling, manakala Pilah serta Johol ditandingi calon Pas yang mewakili PN menerusi persefahaman pilihan raya dengan BN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast