Ahmad Shahir Mohd

REMBAU – Calon baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Paroi, Ahmad Shahir Mohd menyedari tanggungjawab yang dipikulnya untuk memenangi kerusi tersebut bukanlah satu perkara yang mudah.

Mewakili Pakatan Harapan (PH), Ahmad Shahir perlu berhadapan dengan penyandang sedia ada daripada Perikatan Nasional (PN) Kamarul Ridzuan Mohd Zin yang mempunyai lebih banyak pengalaman dalam dunia politik.

Bagaimanapun, perkara itu tidak menghalang hasratnya untuk membawa DUN Paroi kembali ke bawah pentadbiran kerajaan negeri.

“Paroi adalah DUN terbesar dan mempunyai bilangan pengundi paling ramai di Negeri Sembilan iaitu sekitar 65,000 orang. Penyandangnya pula daripada Perikatan Nasional (PN) dan seorang yang senior serta berpengalaman.

“Saya sebagai orang baharu dan ahli politik muda mahu menawarkan sesuatu yang berbeza untuk kebaikan Paroi pada masa hadapan,” katanya selepas selesai proses penamaan calon, di Dewan Seri Rembau hari ini.

Ahmad Shahir yang juga merupakan Setiausaha Pemuda Parti Amanah Negara turut menjelaskan, proses untuk memperkenalkan diri dan membina kepercayaan dalam kalangan penduduk setempat memerlukan masa dan kesabaran yang tinggi.

“Saya melihat corak pengundian di Paroi yang sering berubah mengikut trend politik semasa sebagai satu peluang yang baik untuk calon muda.

“Tugas ini memang mencabar dan berat. Memang ambil masa untuk orang kenal dan letak kepercayaan kepada kita tetapi ini adalah peluang terbaik bagi orang muda seperti saya untuk bekerja di DUN Paroi yang mempunyai ciri berbeza berbanding DUN lain,” katanya.

Ahmad Shahir turut meletakkan harapan kepada pengaruh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menjadi watak utama dalam kempen kali ini dan yakin corak kepimpinan menteri besar itu dapat memberikan kesan positif kepada kawasan berkenaan.

Jelasnya yang juga merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, fokus politik sekarang perlu bergerak ke hadapan dengan membawa pendekatan yang lebih matang demi kepentingan rakyat, sama seperti perubahan yang pernah berlaku di Johor sebelum ini.

“Hampir separuh daripada penduduk di situ berumur bawah 40 tahun manakala sebahagian besarnya berada dalam kumpulan pendapatan M40 dan B40.

“Disebabkan DUN Paroi mempunyai banyak taman perumahan dan flat serta hanya mempunyai empat hingga lima buah kampung, fokus utama saya adalah untuk menyelesaikan masalah berkaitan kemudahan asas penduduk.

“Fokus utama adalah kemudahan infrastruktur kerana perumahan flat dan taman adalah kawasan majoriti di sini.

“Selain itu, kami akan tumpukan kepada isu sosial anak muda, perkhidmatan kesihatan yang lebih khusus dan paling penting adalah program TVET.”

Katanya, latihan kemahiran (TVET) mendapat permintaan yang tinggi, jadi peranan pemimpin amat diperlukan untuk membantu anak-anak muda menyertai bidang ini demi mendapatkan pekerjaan yang lebih menjamin masa depan.

Sementara itu ketika mengenai pendekatan kempen parti komponen lain seperti DAP, Ahmad Shahir berkata, setiap parti mempunyai strategi tersendiri.

“Itu terpulang kepada strategi kempen masing-masing. Di Negeri Sembilan, Ketua Polis Negeri sudah menasihatkan agar kita elakkan isu sensitif.

“Sebaliknya, lebih baik fokus kepada pembentangan manifesto dan apa yang boleh kita berikan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast