Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Siti Nur Umaira Hashim
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Siti Nur Umaira Hashim

SEREMBAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Siti Nur Umaira Hashim mengakui tidak mahu menabur janji yang sukar ditunaikan, sebaliknya bertekad menjadi suara rakyat dengan membawa setiap isu yang dibangkitkan penduduk kepada pihak berkaitan.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan  berkata, keutamaan sekiranya diberi mandat ialah memastikan setiap isu dan permasalahan penduduk Labu diberi perhatian serta tindakan sewajarnya.

“Saya tak berani nak menjanjikan bulan dan bintang. Saya berharap saya mampu membantu rakyat di Labu dengan mengetengahkan isu-isu yang saya peroleh daripada kampung untuk didengari di peringkat atasan,” katanya ketika ditemui selepas program kenduri cekodok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tiroi, Negeri Sembilan.

Umaira yang juga setiausaha pergerakan itu menyifatkan pencalonannya sebagai satu amanah besar yang diberikan kepimpinan parti dan mahu kepercayaan tersebut digalas sebaik mungkin dengan sasaran utama memastikan BN kembali merampas kerusi DUN Labu.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 Labu, Siti Nur Umaira Hashim, bercakap pada sidang media selepas mengadakan program walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 JULAI 2026.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan atas mandat yang diberikan kepada saya untuk menjadi calon di N20 Labu. Saya berharap dapat menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin dan menghadiahkan kemenangan kepada BN,” ujarnya.

Mengulas saingan di DUN Labu, Umaira mengakui berdepan persaingan sengit, namun memilih untuk menghormati semua pencabarnya termasuk penyandang kerusi berkenaan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 Labu, Siti Nur Umaira Hashim, menyantuni penduduk ketika mengadakan program walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 JULAI 2026.

Katanya, faktor usia yang muda bukan alasan untuk memandang rendah mana-mana pihak, malah beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan rakyat untuk menentukan calon terbaik.

“Saya tahu saya sangat muda dan persaingan saya agak sengit. Tetapi saya menghormati pihak lawan dan saya serahkan kepada rakyat untuk memilih siapa yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Labu sebagai kawasan yang mempunyai sejarah kuat bersama UMNO dan berharap BN mampu mengembalikan semula penguasaan di kerusi itu selepas tidak memenanginya selama dua penggal.

Kerusi DUN Labu menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Ahmad Faez mewakili PH, calon Barisan Nasional (BN), Siti Nur Umaira Hashim dan penyandang, Mohamad Hanifah Abu Baker daripada Perikatan Nasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast