KUALA PILAH – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menempelak pemimpin DAP, Tony Pua yang didakwanya cuba mengelirukan pengundi dengan mengaitkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan peluang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, dakwaan sedemikian tidak berasas kerana PRN diadakan bagi memilih kerajaan negeri dan menteri besar bukan menentukan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
Megat Zulkarnain berkata, DAP juga dilihat terus memainkan naratif sama yang pernah digunakan terhadap Datuk Seri Najib Razak sebelum ini ketika PRN Johor namun kali ini dengan menjadikan Ahmad Zahid pula sebagai sasaran politik.
“Bagaimana mereka bercakap mengenai kononnya hasrat Ahmad Zahid untuk bersama Perikatan Nasional (PN)? Perkara itu telah pun dijawab oleh rakyat melalui peti undi.
“Sekarang mereka menyerang Ahmad Zahid pula dengan mengatakan jika kita menang di Negeri Sembilan, ia akan memberi ruang kepada beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui di sini selepas hadir memberi sokongan kepada calon BN DUN Pilah, Suzlyana Mahayuddin malam tadi.
Menurut Megat Zulkarnain, kenyataan sedemikian seolah-olah memperlekeh kebijaksanaan pengundi kerana rakyat memahami bahawa PRN adalah bagi memilih kerajaan negeri.
“PRN ini bukan untuk memilih Perdana Menteri. Ia adalah untuk memilih siapa yang akan menerajui kerajaan negeri dan siapa yang menjadi Menteri Besar.
“Saya sebenarnya seronok apabila mereka menggunakan pendekatan kempen seperti ini kerana pada saya mereka sudah ketandusan idea,” ujarnya.

Sambung beliau, sekiranya DAP mempunyai tawaran lebih baik kepada rakyat, parti itu sepatutnya memberi tumpuan kepada dasar dan penyelesaian bukannya terus memainkan persepsi terhadap pemimpin lawan.
Jelas beliau, DAP selalunya menggunakan strategi seumpama itu apabila ketandusan idea berkempen, antaranya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan 2022.
Katanya, pendekatan menyerang peribadi atau character assassination bukan perkara baharu kerana strategi sama telah digunakan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
“Mereka sudah tidak ada idea bagaimana hendak berkempen atau memberikan penawaran kepada rakyat. Sebab itu mereka menggunakan strategi seperti ini. Mereka tidak dapat.
“Teruskanlah. Lagi banyak mereka bercakap, lagi mudah rakyat membuat penilaian. Pada 1 Ogos nanti, suara rakyat akan diterjemahkan melalui peti undi,” tegasnya.
Beliau berkata, BN sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada tawaran kepada rakyat termasuk dari segi perkhidmatan, pembangunan serta membentuk kerajaan negeri yang stabil.
Sebelum ini, Tony Pua dilaporkan mendakwa kemenangan BN pada PRN Negeri Sembilan akan mengukuhkan kedudukan Ahmad Zahid dan membuka ruang kepada Presiden UMNO itu untuk menjadi Perdana Menteri selain mengaitkannya dengan hala tuju politik gabungan berkenaan. – MalaysiaGazette















