SEREMBAN – Ketiadaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan bukan petanda kelemahan kempen gabungan itu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebaliknya ia membuktikan keyakinan terhadap kepimpinan negeri untuk menggerakkan jentera pilihan raya.
“PH negeri mempunyai keupayaan untuk meneruskan gerak kerja kempen secara tersusun tanpa perlu bergantung kepada kehadiran pemimpin tertinggi pada setiap program,” katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan, di sini, malam ini.
Menurutnya, Anwar bagaimanapun dijadualkan turun berkempen di Negeri Sembilan pada Rabu ini menerusi beberapa program bersama rakyat.
“Atas keyakinan beliau kepada pimpinan yang ada di Negeri Sembilan, inilah pimpinan yang ada dalam PH.
“Kita kena yakin bahawa tanpa kehadiran beliau pun kita boleh melaksanakan tugas, apatah lagi dengan kehadiran beliau,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan di sini.
Aminuddin berkata, pihaknya telah dimaklumkan bahawa Perdana Menteri akan menghadiri siri ceramah dan program kempen PRN Negeri Sembilan di Sikamat serta Paroi, Rabu ini.
“Beliau akan hadir pada hari Rabu. Insya-Allah kita akan bertemu di Sikamat dan Paroi dalam satu siri program yang besar,” katanya.
Beliau berkata, jadual kempen Perdana Menteri perlu disusun mengikut kesesuaian memandangkan Anwar turut mempunyai tanggungjawab sebagai ketua kerajaan.
“Takkan hari-hari saya nak bawa Datuk Seri Anwar ke sini,” katanya berseloroh.
Mengulas pelancaran manifesto, Aminuddin berkata, PH sengaja mempercepatkan pelancarannya bagi membolehkan calon-calon mempunyai masa mencukupi untuk menjelaskan kandungan manifesto kepada pengundi sepanjang tempoh berkempen.
“Hari ini kita buktikan, kita siapkan manifesto, tak tunggu lama. Kita nak siap cepat dan kita nak sampaikan kepada rakyat.
“Ini bukti kita, ini janji kita kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















