Calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun (kanan) bergambar bersama calon BN, Datuk Mohd Faizal Ramli (tengah) dan calon Bersatu, Datuk Zamri Md Said pada Hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 18 JULAI 2026.

DALAM landskap politik Malaysia yang semakin matang, rakyat hari ini telah menyaksikan satu fenomena yang menarik serta perhatian orang ramai.

Di peringkat Kerajaan Persekutuan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dalam pentadbiran negara sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Namun, apabila berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN), kedua-dua gabungan tersebut dalam sesetengah keadaan memilih untuk bertanding antara satu sama lain.

Keadaan ini menimbulkan persoalan yang sering dibangkitkan oleh masyarakat. Adakah situasi ini mengelirukan rakyat atau adakah ia merupakan satu ciri normal dalam sistem demokrasi berbilang parti didalam negara diakhir zaman ini?

Persoalan tersebut wajar dibincangkan secara rasional dan berpandukan fakta, tanpa dipengaruhi sentimen kepartian.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan persekutuan. Dalam sistem ini, kerjasama membentuk kerajaan selepas pilihan raya tidak semestinya bermaksud semua parti akan terus bergabung dalam setiap pertandingan pilihan raya yang berikutnya.

Parti-parti politik masih mempunyai identiti, dasar, kepimpinan dan strategi masing-masing mengikut konteks politik di sesuatu negeri atau kawasan.

Dari sudut perundangan dan amalan demokrasi, tiada halangan untuk parti-parti yang bekerjasama dalam pentadbiran kerajaan memilih untuk bersaing dalam pilihanraya, selagi persaingan tersebut berlangsung secara aman, beretika dan menghormati proses demokrasi.

Bagaimanapun, dari sudut persepsi rakyat, situasi ini boleh menimbulkan pelbagai tafsiran.

Sebahagian pengundi mungkin berasa keliru apabila melihat parti-parti yang bersama-sama mentadbir negara tampil sebagai pesaing ketika kempen pilihan raya negeri. Persoalan yang sering kedengaran ialah, jika boleh bekerjasama mentadbir negara, mengapa tidak bekerjasama untuk mendapatkan mandat di negeri?

Sebaliknya, terdapat juga pengundi yang melihat keadaan inisebagai perkara biasa dalam demokrasi. Mereka berpendapat  pertandingan pilihan raya memberi ruang kepada setiap parti menawarkan dasar, manifesto dan kepimpinan masing-masing, manakala pembentukan kerajaan selepas pilihan raya bergantung kepada keputusan rakyat serta rundingan politik yang berlaku ketika itu.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana parti-parti politik menjelaskan kedudukan mereka kepada rakyat semasa berkempen.

Komunikasi yang jelas, konsisten dan telus mampu mengurangkan kekeliruan serta membantu pengundi memahami perbezaan antara kerjasama dalam pentadbiran dan persaingan untuk mendapatkan mandat pilihan raya.

Dalam konteks Negeri Sembilan dan Johor, pengundi lazimnya turut menilai prestasi kerajaan negeri, pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pengurusan kos sara hidup, infrastruktur serta keupayaan calon menyelesaikan isu tempatan.

Faktor-faktor ini sering memainkan peranan besar dalam menentukan sokongan pengundi, selain daripada hubungan antara parti di peringkat nasional khususnya di Negeri Sembilan.

Pembangunan serta kerancakan ekonominya menjadi faktor mengapa pengundi wajar untuk memilih Kerajaan yang sama dan bukannya yang menyusahkan negeri atau pun rakyat amnya.

Oleh itu, parti-parti yang bertanding perlulah memastikan kempen mereka memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat dan menawarkan dasar yang boleh dinilai secara objektif. Persaingan politik yang matang tidak seharusnya menghakis semangat kerjasama dalam mentadbir selepas pilihan raya.

Akhirnya, sama ada keadaan ini dianggap mengelirukan atau tidak bergantung kepada persepsi setiap pengundi serta sejauhmana parti-parti politik berjaya menerangkan rasional strategi mereka.

Yang lebih utama ialah memastikan setiap keputusan politik akhirnya membawa kepada kestabilan pentadbiran, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam sebuah demokrasi yang sihat, rakyat berhak menilai, mempersoalkan dan membuat pilihan berdasarkan maklumat yang jelas.

Pada masa sama, parti-parti politik memikul tanggungjawab untuk memastikan persaingan pilihan raya berlangsung secara beradab, menghormati perbezaan pandangan dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik jangka pendek.

 

Dr Mohd Aluwi Sari
Penasihat Capital Chamber Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast