Menteri Besar yang juga calon Pakatan Harapan N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun berucap pada Peluncuran Manifesto Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 20 JULAI 2026.

SEREMBANPakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tampil dengan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berasaskan rekod pencapaian pentadbiran sepanjang lapan tahun, berbanding hanya menawarkan janji baharu kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, manifesto bertemakan ‘10 Tekad, 10 Keutamaan’ disusun berdasarkan asas pembangunan yang dibina sejak 2018, sekali gus memberi tumpuan kepada pelaksanaan yang mampu direalisasikan.

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu memastikan rakyat menikmati hasil pembangunan yang dilaksanakan sebelum ini selain meneruskan agenda kesejahteraan negeri.

“Manifesto kali ini berbeza kerana kita sudah mempunyai asas yang kukuh hasil pentadbiran selama lapan tahun.

“Apa yang kita lakukan sekarang ialah memperkukuhkan asas tersebut supaya rakyat benar-benar dapat menikmati pembangunan dan kesejahteraan yang dirancang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan di sini, malam ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga mahu memastikan setiap komitmen yang diumumkan dapat dilaksanakan sekiranya diberi mandat sekali lagi.

“Manifesto mesti boleh dilaksanakan, bukan sekadar menjadi janji politik.

“Kita telah buktikan sepanjang lapan tahun pentadbiran.

“Hampir semua manifesto terdahulu dapat dilaksanakan kecuali dua perkara melibatkan halangan daripada pihak pembangkang ketika itu,” katanya.

Aminuddin berkata, manifesto itu turut mengambil kira keperluan semasa rakyat serta hala tuju pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Manifesto kali ini adalah pelan pembangunan yang inklusif merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama mahupun kawasan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast