Calon PH bagi DUN Jeram Padang, Manivanan Gowin ketika berkempen sempena PRN Negeri Sembilan baru-baru ini.

JEMPOL – Pakatan Harapan (PH) komited untuk memastikan penduduk Jeram Padang menikmati kemudahan asas yang lebih baik, moden dan berkualiti dengan menaik taraf infrastruktur serta perkhidmatan asas di seluruh kawasan DUN Jeram Padang.

Calon PH bagi DUN Jeram Padang, Manivanan Gowin berkata, kemudahan asas yang baik merupakan keperluan utama bagi meningkatkan kualiti hiduprakyat.

“Saya komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan penyelesaian isu-isu yang telah lama membelenggu penduduk.

“Antara keutamaan yang akan diberi perhatian ialah menaik taraf jalan raya yang rosak dan uzur, memastikan bekalan air bersih yang mencukupi, memperkukuh sistem bekalan elektrik yang lebih stabil serta memperluaskan liputan internet berkelajuan tinggi agar semua penduduk dapat menikmati akses digital yang lebih baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Malah isu bekalan air juga akan menjadi antara fokus utama yang perlu diselesaikan.

Menurutnya, di beberapa kawasan khususnya Sungai Raya kebelakangan ini terpaksa berdepan gangguan bekalan air sehingga empat hingga lima hari tanpa bekalan.

Selain itu, terdapat juga beberapa kawasan lain di Jeram Padang yang sering mengalami masalah tekanan air yang rendah, bekalan yang tidak stabil serta gangguan berulang sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk.

Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan, katanya.

“Saya komited untuk membawa isu ini kepada pihak berwajib serta bekerjasama dengan kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan bagi mempercepatkan penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan supaya setiap penduduk dapat menikmati bekalan air yang mencukupi, stabil dan berkualiti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast