Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan ditubuhkan atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong ekoran negara mengalami situasi Parlimen tergantung selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.

Tegas beliau, Kerajaan Perpaduan juga dibina atas prinsip saling menghormati, bukannya saling mengugut.

Tambahnya, Barisan Nasional (BN) kekal komited sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan terus melaksanakan amanah yang diberikan.

Pada masa yang sama, ujar beliau, setiap parti mempunyai hak menentukan strategi politik di peringkat negeri mengikut realiti serta keperluan setempat.

“Adalah tidak wajar mana-mana pihak mempertikaikan komitmen BN hanya kerana strategi pilihan raya di peringkat negeri,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk merujuk kepada gesaan Angkatan Muda Harapan (AMH) supaya semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada BN meletakkan jawatan dalam Kabinet susulan perkembangan politik terkini yang menyaksikan BN secara terbuka bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan bersama, AMH mendakwa, tindakan BN bekerjasama secara terbuka dengan PN membuktikan parti berkenaan tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Nurulhidayah menegaskan sekiranya keutamaan AMH ketika ini adalah benar-benar memastikan kestabilan negara dan kebajikan rakyat, maka sayap pemuda Pakatan Harapan (PH) tersebut sepatutnya memberikan ruang kepada pihak-pihak terlibat bekerja.

Dalam masa sama, beliau menggesa AMH menghormati perbezaan strategi politik antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Rakyat sedang menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negara, dan siapa yang masih sibuk bermain politik,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast