Ketua Penggerak Pemuda Parti Wawasan Negara, Dr uzzammil Ismail

SEREMBAN Pemuda Wawasan Negara menggesa Kabinet Persekutuan dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum, sambil menyifatkan kerajaan sedia ada sudah tidak lagi mempunyai kestabilan politik yang kukuh.

Ketua Penggeraknya, Muzzammil Ismail berkata, mandat sewajarnya dikembalikan kepada rakyat bagi menentukan semula hala tuju pentadbiran negara melalui proses demokrasi.

Beliau berkata, desakan supaya menteri dan timbalan menteri daripada UMNO-Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan bukanlah penyelesaian terbaik terhadap kemelut politik semasa.

“Pemuda PH sepatutnya mendesak supaya Parlimen atau Kabinet dibubarkan, bukannya mendesak menteri dan timbalan menteri daripada UMNO-BN meletakkan jawatan.

“Jelas pada hari ini kerajaan yang ada tidak stabil dan sebaiknya mandat ini dipulangkan semula kepada rakyat melalui pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik keputusan BN bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, langkah tersebut dilihat sebagai perkembangan positif dalam usaha membina Konsensus Nasional Baharu yang menghimpunkan parti-parti berteraskan perjuangan Melayu-Islam dan nasionalisme.

“Pemuda Wawasan Negara menyokong dan mendukung setiap usaha yang ikhlas ke arah kerjasama antara BN, Perikatan Nasional (PN) serta parti-parti yang berkongsi asas perjuangan yang sama.

“Politik tidak seharusnya terus terperangkap dalam persaingan yang memecah-belahkan sehingga melemahkan kekuatan bersama,” katanya.

Menurut beliau, negara memerlukan satu model politik baharu yang lebih mengutamakan kestabilan, kematangan politik dan kerjasama ummah secara tersusun serta berprinsip.

“Semangat kerjasama itu dapat dilihat apabila jentera BN dan PN berhimpun serta memberikan sokongan bersama di semua pusat penamaan calon PRN Negeri Sembilan, pada Sabtu.

Katanya, perkembangan berkenaan memperlihatkan keserasian yang semakin baik antara kedua-dua blok politik berkenaan.

Pada masa sama, beliau mendoakan semua calon daripada PN dan BN yang bertanding diberikan kekuatan serta istiqamah dalam perjuangan sepanjang tempoh kempen pilihan raya.

“Semoga semua calon PN dan BN yang bertanding diberikan kekuatan, istiqamah dalam perjuangan serta mencapai yang terbaik dalam menghadapi pilihan raya ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast