SERI MENANTI – Bantuan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) antara perkara yang terus menjadi sebutan pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di DUN Seri Menanti.
Calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa berkata, maklum balas diterima daripada pasukan kempen turun padang mendapati ramai penduduk turut menghargai rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, khususnya dalam aspek kebajikan dan pembangunan.
“Ramai pengundi sendiri menyebut mengenai bantuan yang mereka terima seperti SARA dan STR. Mereka merasakan bantuan itu sedikit sebanyak membantu meringankan kos sara hidup.
“Selain itu, mereka juga melihat kepada apa yang telah dilakukan kerajaan negeri sepanjang tempoh mentadbir,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, kebanyakan pengundi yang ditemui tidak hanya bertanyakan soal manifesto pilihan raya, sebaliknya lebih cenderung berkongsi pengalaman menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan.
Katanya, warga emas antara yang paling banyak menyuarakan penghargaan terhadap bantuan yang diterima, selain berharap perhatian terhadap kebajikan mereka diteruskan.
“Mereka berterima kasih atas bantuan yang diterima dan berharap usaha membantu golongan memerlukan akan diteruskan.
“Dalam masa sama, mereka turut menyampaikan beberapa keperluan di kawasan seperti kerja baik pulih rumah, longkang serta kemudahan asas yang memerlukan perhatian,” ujarnya.
Mohd Kamarul berkata, sambutan yang diterima sepanjang kempen turut memberi gambaran bahawa pengundi kini lebih menilai rekod sesebuah kerajaan berbanding sekadar mendengar janji pilihan raya.
Beliau berkata, antara perkara yang menjadi perhatian ialah kemampuan kerajaan negeri mengekalkan kestabilan pentadbiran sehingga berjaya mencatatkan peningkatan kutipan hasil, rizab negeri serta kemasukan pelaburan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut rekod kerajaan negeri, kutipan hasil meningkat daripada RM413 juta pada 2017 kepada RM610 juta pada 2025, manakala rizab negeri turut meningkat daripada RM725.96 juta kepada RM1.04 bilion dalam tempoh sama.
Dalam tempoh itu juga, Negeri Sembilan merekodkan peningkatan pelaburan daripada RM1.14 bilion pada 2017 kepada RM54.3 bilion pada 2025, selain kadar pengangguran menurun daripada 3.8 peratus pada 2020 kepada 3.1 peratus pada tahun lalu.
Mengulas perjalanan kempen, Mohd Kamarul berkata, beliau akan terus memberi tumpuan kepada pendekatan ziarah dari rumah ke rumah bagi mendengar sendiri pandangan serta keperluan penduduk di Seri Menanti.
PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini menyaksikan Mohd Kamarul berdepan penyandang Barisan Nasional (BN), Muhammad Sufian Maradzi serta calon Bersatu, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin dalam pertandingan tiga penjuru bagi merebut kerusi DUN Seri Menanti. -MalaysiaGazette
















